KUALA LUMPUR — Polis telah menerima satu laporan berhubung video tular memaparkan sekumpulan penuntut pusat asasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Dengkil yang dikaitkan dengan kumpulan pelampau bangsa.
Menurut Ketua Polis Daerah Sepang, Norhizam Bahaman berkata, laporan berkenaan dibuat oleh seorang lelaki pada 7.24 petang semalam.
Norhizam memberitahu, video tersebut dipercayai adalah sebahagian daripada hasil tugasan pelajar UiTM yang berkaitan dengan ahli kumpulan Ku Klux Klan (KKK).
“Dalam paparan video itu, terdapat lakonan semula apa yang berlaku suatu masa dahulu iaitu orang kulit putih membunuh orang kulit hitam dan apabila tercetusnya KKK ini, maka satu undang-undang baharu bagi menghalang diskriminasi kaum telah dilaksanakan.
“Kes masih dalam siasatan polis,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Norhizam turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau berkongsi berita tidak benar yang boleh menyebabkan kegusaran awam.
Semalam, Uitm dalam kenyataannya memaklumkan sekumpulan pelajar memakai kostum seperti ahli kumpulan Ku Klux Klan (KKK) sebenarnya merupakan sebahagian daripada sesi pembentangan tugasan akademik kursus Contemporary Global and Legal Issues oleh pelajar Pusat Asasi UiTM Cawangan Selangor, Kampus Dengkil.
UiTM memberitahu, tugasan itu adalah bagi menggalakkan permikiran kritikal dan dalam sesi tersebut, pelajar telah memilih untuk membentangkan isu berkaitan diskriminasi kaum dan kebencian berasaskan warna kulit, yang merupakan antara pelanggaran hak asasi manusia yang pernah berlaku di beberapa negara.
Ku Klux Klan, yang diasaskan pada 1865 dikenali sebagai kumpulan pelampau sayap kanan di Amerika Syarikat.
Ia mempunyai sejarah panjang dalam menggunakan keganasan, ugutan dan keganasan terutama terhadap orang Afrika Amerika, Yahudi, Katolik dan kumpulan minoriti lain bagi menegakkan ketuanan kulit putih. – 16 April, 2025