KKUALA LUMPUR — Seorang lelaki, Mohd Fauzi Mohd Johan, 57, dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas keluar bekerja pada jam 9 pagi, Isnin lalu.
Ketua Polis Petaling Jaya, Shahrulnizam Ja’afar memberitahu, beliau dilaporkan keluar bekerja di Asean Retail-Chain Franchise Federation (ARFF) di Petaling Jaya, dengan menaiki kenderaan e-hailing.
Shahrulnizam memberitahu, laporan mengenai kehilangan Mohd Fauzi dibuat pada 12.28 tengah malam tadi.
“Kali terakhir Mohd Fauzi dilihat ialah di Sutera Damansara Jalan PJU10/17, Damansara Damai, di Petaling Jaya,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, lelaki berkenaan berketinggian kira-kira 174 sentimeter dengan berat kira-kira 80 kilogram dan berkulit putih.
Sehubungan itu, Shahrulnizam meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dengan Mohd Fauzi supaya menghubungi 013-2860448 atau 03-61421222 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222. – 16 April, 2025