Jalur Gemilang tanpa bulan sabit tidak boleh diterima: Agong

Seri Paduka baginda menegaskan bendera bukan sekadar kain bercorak yang berwarna-warni tetapi mewakili perjuangan, sejarah dan erti kemerdekaan serta semangat rakyat jelata

5:58 PM MYT

 


KUALA LUMPUR — Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah kesilapan memaparkan gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit seperti yang disiarkan di muka hadapan sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan boleh mencetuskan sensitiviti rakyat dan tidak boleh diterima.

Seri Paduka baginda menegaskan bendera bukan sekadar kain bercorak yang berwarna-warni tetapi mewakili perjuangan, sejarah dan erti kemerdekaan serta semangat rakyat jelata.

Bendera, titah baginda, adalah lambang kedaulatan serta identiti sesebuah negara.

“Kita sebagai rakyat mengibarkan bendera dengan rasa megah dan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa,’’ titah baginda menerusi hantaran dai Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini.

Justeru, tegas baginda pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar berkenaan seharusnya lebih peka dan menyemak sesuatu bahan siaran terlebih dahulu sebelum dicetak untuk siaran.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai ilustrasi Jalur Gemilang yang diletakkan bersebelahan bendera China tidak lengkap, tanpa bulan sabit di akhbar Sin Chew Daily baru-baru ini.

Berikutan itu, Sin Chew Daily tampil memohon maaf atas kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memanggil pihak Sin Chew Daily hari ini bagi tujuan siasatan dan Surat Tunjuk Sebab juga diserahkan susulan penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang dalam bentuk yang tidak lengkap pada muka hadapan akhbar itu, pada 15 April lalu.

KDN dalam kenyataannya memberitahu, siasatan serta merta juga telah dilakukan berdasarkan dua undang-undang yang berkaitan iaitu Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414] serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301].

Tambahnya, tindakan penguatkuasaan yang tegas atas kesalahan terhadap kedua-dua Akta yang berkuat kuasa akan dipertimbang sewajarnya selepas siasatan dilengkapkan.

“Mana-mana pihak yang gagal mematuhi spesifikasi rasmi bendera seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414], boleh dikenakan tindakan berdasarkan undang-undang semasa yang berkuatkuasa,’’ katanya.

KDN juga menegaskan, ia tidak akan sesekali berkompromi dan tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang cuai dalam menerbitkan apa-apa hasil penerbitan yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam sepertimana yang diperuntukan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301].

Menurut KDN, perbuatan menyiarkan Jalur Gemilang tanpa simbol bulan sabit yang merupakan lambang kepada kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan adalah suatu kecuaian yang serius dan tidak sewajarnya dilakukan.

Perbuatan itu juga, katanya, bukan sahaja mencerminkan kelalaian profesionalisme malah boleh mencetuskan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

“Jalur Gemilang bukan sekadar simbol, ia adalah lambang kedaulatan, perpaduan dan identiti nasional negara ini yang wajib dihormati serta dimartabatkan oleh semua pihak.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain memberitahu polis sudah menerima 13 laporan berhubung isu tersebut. – 16 April, 2025

Topics

 

Hangat

BAM confirms salary increment demands from top players, review process underway

Acting president Datuk V. Subramaniam acknowledges requests for salary increments and emphasises ongoing discussions to assess their feasibility

Operasi beras putih tempatan dilaksana

“Ini bagi memastikan keseluruhan rantaian bekalan pengedaran beras di semua peringkat, mematuhi peraturan dan perundangan sedia ada,” katanya.

No tolerance for racial, religious hatred, PM warns of severe action

I can stand to be attacked, but I draw the line at others inciting hate using racial and religious sentiments, said Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Related