Nasib 193 pekerja Menara Kuala Lumpur terbela, ditawar berkhidmat dengan pengurusan baharu: Fahmi

Pengurusan baharu akan menawarkan pekerjaan kepada mereka dengan syarat gaji yang ditawarkan tidak boleh kurang dari gaji terdahulu

1:27 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Nasib 193 daripada 205 pekerja Menara Kuala Lumpur kini terbela apabila mereka akan diambil semula untuk berkhidmat dengan pengurusan baharu, LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM).

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, berdasarkan maklumat, semua pekerja terbabit ditamatkan perkhidmatan mereka oleh syarikat Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) pada 31 Mac lalu bersamaan dengan 1 Syawal iaitu pada Hari Raya Aidilfitri.

“Berdasarkan maklumat diterima, 205 pekerja MKSB telah ditamatkan perkhidmatan mereka 31 Mac lalu dengan notis dikeluarkan pada 18 Disember lalu.

“Kementerian Konunikasi meminta syarikat baru mengambil semua pekerja ini kerana ramai yang telah lama berkhidmat dan tahu selok belok bangunan.

“Jadi syarikat baharu (LSHSM) tawarkan (kepada mereka) dengan syarat gaji mereka tidak boleh kurang daripada apa yang diterima di syarikat lama,” katanya pada sidang media selepas sesi taklimat media oleh Kementerian Komunikasi mengenai pengambilalihan pengurusan konsesi Menara Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Bangunan Menara Kuala Lumpur akan ditutup buat sementara waktu bermula hari ini untuk memberi ruang kepada pengurusan baharu melakukan kerja-kerja penyelenggaraan. – Gambar Scoop, 17 April, 2025

Fahmi berkata, Menara Kuala Lumpur ketika ini ditutup sementara bagi menyelesaikan beberapa isu termasuk soal keselamatan bangunan untuk pengunjung.

“Operasi dan pengurusan MKL oleh syarikat LSHSM berkuat kuasa 1 April, namun syarikat lama (MKLSB) enggan keluar, pada 3 April lalu, Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) mengeluarkan Notis Pengosongan MKL kepada MKLSB berdasarkan Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 [Akta 828].

“PTP masuk ke premis untuk memudahkan syarikat baharu masuk kelak. Ada beberpaa perkara perlu dilakukan segera selepas syarikat lama melakukan pemindahan keluar aset dan perkakas mereka.

“Selain itu syarikat baharu perlu pastikan keselamatan pengunjung terjaga, kita jangka berdasarkan maklum balas syarikat baharu, termasuk bagi kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan, kita akan umum tarikh untuk Menara Kuala Lumpur kembali dibuka kelak,” katanya.

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, pasukan Kementerian Komunikasi juga sudah melakukan lawatan bagi melihat sendiri keadaan semasa Menara Kuala Lumpur termasuk memastikan soal keselamatan untuk pengunjung apabila kembali dibuka kelak.

“Berdasarkan video pengamatan pasukan, banyak perkakas di dapur dan keadaan menara berputar yang mempunyai restoran tidak berada dalam keadaan yang selesa untuk pengunjung.

“Malah ada railing yang ada di deck yang telah diturunkan, rasa agak merisaukan, jadi demi keselamatan pengunjung, syarikat baharu perlu segera lakukan kerja pembaikan dan pengubahsuaian untuk memastikan keselamatan pengunjung terjamin,” katanya.

Semalam, Kementerian Komunikasi dalam kenyataannya memaklumkan bangunan Menara Kuala Lumpur akan ditutup buat sementara waktu bermula hari ini untuk memberi ruang kepada pengurusan baharu melakukan kerja-kerja penyelenggaraan serta penambahbaikan demi keselamatan dan keselesaan pengunjung.

Menurutnya, tarikh pembukaan semula menara komunikasi antara yang tertinggi di dunia itu akan dimaklumkan melalui pelbagai saluran media.

“Kerajaan MADANI menerusi Kementerian Komunikasi menegaskan bahawa Menara Kuala Lumpur ialah milik kerajaan.

“Bermula 1 April 2025, pengoperasian, pengurusan dan penyelenggaraan Menara Kuala Lumpur telah diambil alih oleh syarikat LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM),” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, Pesuruhjaya Tanah Persekutuan mengemukakan dua notis pengosongan kepada pihak MKLSB melalui surat bertarikh 3 dan 9 April 2025. -17 April, 2025

Topics

 

Hangat

Rasuah: bekas Hakim Mahkamah Sesyen jalani hukuman penjara 6 bulan, denda RM25,000

Hakim Mohd Nazlan berkata kesalahan rasuah adalah serius yang mengganggu gugat pertumbuhan ekonomi, apatah lagi dilakukan oleh seorang yang menjalankan tanggungjawab kehakiman

Kelantan, Terengganu PKR heads defend division chief posts

Datuk Seri Mohd Suparadi Mohd Noor retains position in Tanah Merah while Ahmad Nazri Mohd Yusof retains Kemaman

Don’t blame students for govt’s failure, Shafie tells GRS amid UMS water protest

Warisan president criticises state govt for scapegoating UMS students protesting ongoing water supply issues in Sabah, calling for accountability rather than blame

Related