KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi hari ini mengumumkan insentif rebat kewangan di bawah Concert and Event in Malaysia Incentives (CEMI) bagi menyokong konsert berskala besar melibatkan lebih 15,000 penonton dengan penglibatan artis tempatan dan antarabangsa.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, program itu dikendalikan oleh MyCreative Ventures (MyCV) dengan sokongan Kementerian Komunikasi dan dilaksanakan kerana kerajaan menyedari potensi besar penganjuran konsert dan acara berskala besar kepada ekonomi negara.
Jelasnya, RM10 juta diperuntukkan setahun dan pelaksanaannya akan berkuat kuasa bermula pada 15 Mei ini.
Menurut Fahmi, kerajaan mengambil maklum bahawa penganjuran acara besar itu bukan sesuatu yang mudah dengan kos operasi yang tinggi di samping cabaran logistik dan keperluan pematuhan pelbagai agensi hingga menjadi kekangan utama kepada ramai penganjur.
Beliau memberitahu, syarat CEMI bagi konsert melibatkan artis antarabangsa ialah penganjur layak mendapat 30% daripada Qualifying Malaysian Concert and Event Spend (QMCES) yang sebenar atau maksimum RM1.5 juta, mengikut mana yang rendah dengan syarat perlu membelanjakan minimum 20% daripada QMCES dan sekurang-kurangnya 30% adalah kru tempatan.
Bonus tambahan sebanyak RM100,000 turut disediakan sekiranya artis tempatan turut terlibat dan jualan tiket melebihi 60% dalam tempoh 30 hari sebelum acara.
Bagi artis tempatan pula, kata Fahmi, penganjur layak mendapat 30% daripada QMCES sebenar atau sehingga maksimum RM1 juta, atau mana yang lebih rendah dan perlu membelanjakan 70% daripada QMCES.
“Bonus tambahan sebanyak RM100,000 disediakan jika jualan tiket sebanyak 60% atau lebih, 30 hari sebelum tarikh acara serta 20% daripada jumlah jualan tiket akhir adalah pembeli antarabangsa,’’ katanya pada majlis Eid Sinergy anjuran Persatuan Seni, Acara Langsung, Konsert dan Festival Malaysia (ALIFE) di sini hari ini.

Pada masa sama, Fahmi turut mengumumkan penambahbaikan ke atas Garis Panduan PUSPAL (GPP) versi baharu (GPP 6.0) dengan elemen paling besar dalam penambahbaikan itu melibatkan pengurusan insiden terutama penamatan persembahan (killswitch).
Jelasnya, penambahbaikan GPP 6.0 ini dilakukan dengan melibatkan banyak sesi libat urus, bengkel dan mesyuarat.
Selain pengurusan insiden, katanya, beberapa bahagian dalam GPP dipinda mengikut kesesuaian selaras dengan perubahan struktur di samping meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan.
“Ia adalah semakan semula kepada tempoh larangan (blackout dates) bagi persembahan berskala besar, pemendekan tempoh permohonan kategori nyanyian/muzik dan pengacara berskala kecil dan kategori promosi daripada 14 hari kepada tujuh hari.
“Prapermohonan menjadi syarat wajib untuk pengiklanan, promosi dan jualan tiket persembahan artis luar negara (ALN),’’ katanya di sini.
GPP mengandungi dasar-dasar kerajaan dan tatacara permohonan serta peraturan-peraturan berkaitan penggambaran filem asing dan ALN.
Menurut Fahmi, GPP ini diterbitkan dalam versi Bahasa Melayu dan lima bahasa Inggeris bagi memastikan ia mudah difahami oleh pelbagai lapisan pengguna.
“GPP ini juga telah diasingkan kepada dua kategori mengikut persembahan ALN dan penggambaran filem asing.
“Insentif dan penambahbaikan kepada GPP ini mencerminkan komitmen Kerajaan Madani menerusi Kementerian Komunikasi dalam membangunkan ekosistem kreatif yang lebih mampan, inklusif dan berdaya saing,’’ katanya. – 18 April, 2025