Projek Jana Wibawa: Mahkamah tetapkan 23 Mei keputusan Wan Saiful dapatkan penyata bank

Permohonan mendapatkan dokumen itu adalah relevan bagi pihak pembelaan menyangkal naratif pendakwaan selain menyokong dan membuktikan naratif pembelaan

5:52 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 23 Mei bagi keputusan permohonan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan untuk mendapatkan penyata bank sebuah syarikat berhubung kes pengubahan wang haram dan rasuah projek Jana Wibawa.

Tarikh itu ditetapkan Hakim Rosli Ahmad selepas mendengar hujahan daripada peguam mewakili Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu iaitu Amer Hamzah Arshad.

Amer Hamzah sebelum ini memberitahu mahkamah permohonan bagi mendapatkan dokumen itu adalah relevan bagi pihak pembelaan menyangkal naratif pendakwaan selain menyokong dan membuktikan naratif pembelaan.

Namun Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusof Khan membantah permohonan itu dan memaklumkan penyata bank dipohon pihak pembelaan iaitu dari Januari 2021 adalah tidak relevan kerana penyata bank pada tahun terbabit tiada kena mengena dengan pertuduhan serta pemohon.

Selain itu, kata Farah Ezlin, dalam notis permohonan hanya menyatakan penyata bank itu berhubung dengan pertuduhan, namun tidak dinyatakan ia penting bagi pembelaan pemohon.

Wan Saiful, pada 16 Januari lepas memfailkan permohonan itu dengan menamakan pendakwa raya, Eksekutif Maybank Cawangan Taman Tun Dr Ismail Raja Muhammad Aiman Raja Sa’adi yang juga saksi pendakwaan ke-15 dan Maybank Islamic Berhad sebagai responden pertama hingga ketiga.

Beliau memohon mahkamah mengeluarkan perintah kepada ketiga-tiga responden berkenaan untuk memberi tiga penyata bank Maybank atas nama Nepturis Sdn Bhd bagi tempoh Januari 2021 hingga Disember 2023 kepada sama ada dalam bentuk fizikal atau peranti storan digital.

Menerusi afidavit sokongannya, Wan Saiful berkata semasa Raja Muhammad Aiman memberi keterangan di mahkamah pada 19 dan 20 September 2024, beliau telah merujuk dan mengesahkan beberapa dokumen antaranya penyata bank Maybank atas nama Nepturis, namun penyata bank yang diberikan kepada pihak pembelaan hanya dari Julai 2022 hingga Disember 2022 dan Januari 2023 hingga Jun 2023.

Permohonan itu bagaimanapun dibantah pihak pendakwaan kerana tiga penyata bank akaun milik Nepturis Sdn Bhd yang dipohon Wan Saiful bukan satu keperluan.

Mahkamah juga pada hari ini membenarkan permohonan Wan Saiful untuk mendapatkan sementara pasport antarabangsanya dari 21 April hingga 27 Mei atas urusan kerja di Australia dan Singapura.
Wan Saiful, 49, didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuk membantu Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada kerajaan Malaysia, secara prakelayakan bernilai RM232 juta.

Beliau juga didakwa menerima wang tunai RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan surat setuju terima bagi projek terbabit.

Wan Saiful turut berdepan 18 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5.59 juta, dengan memindah dan menggunakan wang hasil aktiviti haram itu, antaranya bagi membayar pembelian kenderaan jenis Ford Ranger di Cawangan CIMB Bank Berhad Bukit Tunku, antara 12 Ogos dan 13 Nov 2022. – 18 April, 2025

Topics

 

Hangat

I’m not a man of politics, just born into a high-profile family: Mirzan Mahathir 

The 65-year-old businessman sees each accusation not as a threat, but as a challenge – an opportunity to fortify his character and forge his legacy. 

Uncertainty surrounds Damok’s future in Moto3

The disappointing performance of Malaysia’s Moto3 rider, Syarifuddin Azman, at the 2023 Malaysian Motorcycle Grand Prix (MotoGP) at the Sepang International Circuit (SIC) yesterday is posing a threat to his chances to compete next season.

Greener future: Naza, China’s Grandblue ink MoU to modernise waste management

This sets the stage for business collaboration in advocating sustainable circular economy

Related