Pemilihan PKR: Undi tak lagi berpaksi pengaruh tokoh, tapi kehendak perubahan akar umbi

Menurut sumber parti, apa yang berlaku memberi isyarat pengaruh Rafizi dalam kalangan akar umbi PKR dilihat semakin goyah

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kejutan pemilihan Cabang PKR yang menyaksikan beberapa nama besar dalam kalangan kem Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli kecundang, memberi isyarat akar umbi mahu melihat perubahan muka baru yang lebih segar berbanding reformis lama.

Menurut sumber parti, apa yang berlaku memberi isyarat pengaruh Rafizi dalam kalangan akar umbi PKR dilihat semakin goyah.

Beliau berkata, ini termasuk kekalahan mengejut Naib Presiden PKR yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad di Setiawangsa semalam kepada Datuk Afdlin Shauki menambah lagi deretan kekalahan kem Rafizi.

Katanya, calon pro Rafizi di beberapa negeri gagal mencipta kejutan manakala kemenangan muka baharu lebih berpihak kepada kumpulan pro Presiden.

“Mengambil contoh pemilihan di Selangor beberapa calon dan pimpinan rapat kepada Rafizi seperti Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rawang, Chua Wei Kiat, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung tewas di kawasan masing-masing.

“Pemilihan kali ini memperlihatkan satu corak pengundian yang tidak lagi berpaksikan pengaruh tokoh tetapi lebih kepada kehendak perubahan dari bawah iaitu akar umbi.

“Kekalahan beberapa nama besar kem Timbalan Presiden PKR itu dalam pemilihan cabang sekali gus mencerminkan kemungkinan pengaruh mereka turut terjejas,” katanya kepada Scoop hari ini.

Menurut sumber lagi, situasi yang berlaku menimbulkan persoalan, adakah akar umbi menghantar isyarat menolak gaya politik elit dalam parti.

“Ini termasuk dakwaan mengenepikan akar umbi atas alasan menumpukan hal pentadbiran kerajaan,” katanya.

Sementara itu penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Mohammad Tawfiq Yaakub berkata, kejutan dalam pemilihan cabang menunjukkan PKR menuju kepada perubahan muka baru yang lebih segar berbanding reformis lama yang sedang berhadapan dengan ‘dehidrasi politik’ dalam parti.

“Di Perak banyak kemenangan lebih berpihak kepada kumpulan pro Presiden begitu juga di Negeri Sembilan yang mana calon-calon pro Rafizi gagal mencipta impak.

“Kita juga dapat melihat pasukan Datuk Seri Syamsul Iskandar Mat Akin yang juga Ketua Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendahului dalam pertandingan kali ini,” katanya.

Beliau juga berpandangan, ahli akar umbi yang mengundi semakin berani menentukan kepimpinan parti dari muka baru sehingga mengenepikan beberapa penyandang nama besar yang berada dalam kabinet kerajaan dan wakil rakyat.

“Misalnya Nik Nazmi selaku Menteri, Adam Adli Timbalan Menteri, Chua Wei Kiat Adun Rawang dan Lee Chean Chung Ahli Parlimen Petaling Jaya. Bagi saya ahli yang mengundi telah letih dan kecewa dengan prestasi barisan penyandang sedia ada dalam parti.

“Seolah-olah semakin ‘perlahan’ dalam aktivitisme parti selepas memegang jawatan wakil rakyat dan pemimpin kerajaan.

“Ini juga tanda penolakan reformis muka lama sehingga muka muka baru muncul menumbangkan nama besar dalam parti,” katanya.

Bagi penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Mazlan Ali berkata, keputusan pemilihan cabang juga bakal mencorak pertandingan pemilihan pada peringkat Pusat pada 24 Mei nanti.

“Kekalahan kepada beberapa nama besar menunjukkan akar umbi membuat keputusan berdasarkan dua kriteria iaitu penghormatan dan rekod bekerja yang baik.

“Beberapa pemimpin besar yang kalah itu, mungkin tidak mencapai merit penghormatan, misalnya Adam Adli (Timbalan Menteri Belia dan Sukan) yang tewas untuk merebut jawatan Timbalan Ketua Cabang Hang Tuah Jaya, beliau boleh disifatkan masih pendatang baru dan belum banyak berjasa.

“Yang kedua, akar umbi juga menilai prestasi. Ada pemimpin-pemimpin yang sudah agak lama dan telah mencapai jawatan dan kedudukan agak tinggi, tapi tidak dapat membuktikan kewibawaan.

“Mungkin juga mereka sudah mencapai paras dinding, tak ada momentum lagi. Maka kali ini, mereka disingkirkan untuk memberi peluang kepada muka-muka baharu,” katanya.

Pemilihan bagi jawatan PKR di peringkat cabang, wanita cabang dan AMK cabang bermula 11 April lalu dan berlangsung hingga 20 April (semalam).

Bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) parti berkenaan pula akan diadakan pada 24 Mei depan. – 21 April, 2025

Topics

 

Hangat

Kelantan, Terengganu PKR heads defend division chief posts

Datuk Seri Mohd Suparadi Mohd Noor retains position in Tanah Merah while Ahmad Nazri Mohd Yusof retains Kemaman

NCPR route: Activists slam Penang’s RM2.4bil ‘car-centric’ solution for endangering environment, wildlife

Environmentalists and transport advocates warn of irreversible damage as state pushes ahead with controversial Tanjung Bungah-Teluk Bahang road

Putra Heights gas explosion: MBSJ’s ROW incursion approval needs scrutiny, says planning law expert 

Just because approval is given does not make it right, reminds Derek Fernandez  

Related