KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar mengingatkan semua pihak supaya tidak terburu-buru mengeluarkan pandangan berkaitan hukum menunaikan ibadah hadi semasa musim pilihan raya.
Beliau berkata, hukum agama adalah perkara yang memerlukan penelitian mendalam, kefahaman menyeluruh serta disiplin ilmu yang tinggi.
Sambil menyeru semua pihak bertenang, Na’im meminta ruang diberikan kepada Mufti serta institusi berwibawa untuk memberikan pandangan dan penjelasan berdasarkan hukum syarak dan konteks semasa.
“Adalah amat penting untuk kita menjaga ketertiban masyarakat dan tidak mencetuskan kekeliruan yang boleh mengganggu keharmonian, apatah lagi apabila ia melibatkan ibadah yang merupakan rukun Islam serta proses demokrasi yang penting bagi negara,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Media semalam melaporkan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang didakwa menyeru umat Islam agar mengutamakan kemenangan dalam landskap politik negara termasuk menangguhkan rancangan menunaikan ibadah haji ke Mekah.
Hadi merujuk kepada pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) di Ayer Kuning.
Beliau berkata demikian ketika dalam ceramah Perikatan Nasional (PN) di Perak, kelmarin.
Penerbangan pertama haji tahun ini dijadualkan pada 29 April, iaitu tiga hari selepas pengundian di Ayer Kuning yang ditetapkan pada 26 April.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Sirajuddin Suhaimee berkata pihaknya sedang meneliti kenyataan tersebut bersama Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dan pihak-pihak berautoriti berkaitan.
“Bagi memastikan umat Islam memahami dengan jelas kedudukan ibadah umrah dan haji dalam Islam serta menghayatinya berdasarkan panduan syarak serta tidak disalah tafsir, Jakim sedang dalam tindakan meneliti kenyataan tersebut bersama Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dan pihak-pihak berautoriti berkaitan.
“Jakim menyeru semua pihak agar sentiasa berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang menyentuh hal-hal berkaitan agama supaya tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,’’ katanya menerusi kenyataan. – 21 April, 2025