Roger Ng jadi saksi kes IMDB ‘mungkin boleh nyatakan Najib tidak bersalah’: Shafee

Peguam utama bekas Perdana Menteri berkata, pasukan peguam Najib masih belum berjumpa Ng secara bersemuka dan akan memohon untuk menemu bualnya terlebih dahulu

3:39 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengesahkan akan memanggil bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa sebagai saksi dalam perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam utama beliau, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, peguam-peguam Najib masih belum berjumpa Ng secara bersemuka dan akan memohon untuk menemu bual Ng terlebih dahulu sebelum beliau memberikan keterangan di mahkamah.

Katanya, keterangan Ng boleh memberikan bukti penting dalam merungkai skandal kewangan 1MDB yang menyaksikan berbilion-bilion diselewengkan daripada syarikat pelaburan strategik negara itu.

“Jika dia benarkan dirinya ditemubual, kita boleh menemuduga setengah jam atau mungkin satu jam. Mungkin beliau (Ng) boleh menyatakan yang Najib tidak bersalah… kita tidak tahu.

“Bagi kes kami (pembelaan) ialah mengapa Najib seorang sahaja yang berada dalam kandang tertuduh?

“Sedangkan mereka daripada pihak bank, Bank Negara Malaysia (BNM), dan bekas pegawai tertinggi 1MDB hanya dipanggil sebagai saksi, itu sahaja, tidak lebih dari itu,” katanya pada sidang media di di Istana Kehakiman hari ini.

Ng dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun oleh mahkamah persekutuan Amerika Syarikat di Brooklyn, New York, selepas didapati bersalah membantu menggelapkan berbilion dolar daripada 1MDB.

Ketua Hakim Margo Brodie mengarahkan Ng diserahkan kepada pihak berkuasa AS untuk dibawa pulang ke Malaysia bagi menjalani tahanan di sini.

Menurut sepucuk surat daripada Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat kepada Brodie, selepas siasatan di Malaysia selesai, Ng dikehendaki kembali ke AS untuk menjalani hukuman penjaranya.

Pada 17 April lalu, Shafee telah memaklumkan kepada Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bahawa pihak pembelaan akan menemu bual Roger Ng terlebih dulu sebelum memutuskan sama ada beliau akan dipanggil sebagai saksi.

Perkembangan terbaru ini dimaklumkan selepas Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar meminta mahkamah menetapkan tarikh khusus daripada pihak pembelaan berkenaan kehadiran Roger Ng ke mahkamah sekiranya beliau diperlukan untuk memberi keterangan.

Pihak pembelaan sebelum ini turut memohon untuk memanggil Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebagai saksi bagi memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu.

Peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin berkata, pihaknya perlu mendapatkan keterangan Ketua Polis Negara untuk membolehkan mereka menemubual Ng.

Beliau berkata, pasukan pembelaan telah membuat beberapa percubaan untuk menjejaki Ng selepas Razarudin mengeluarkan beberapa kenyataan berhubung keberadaan lelaki terbabit.

Wan Azwan berkata, pasukan pembelaan telah menulis surat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara (AGC) dan polis bagi memohon proses menemubual Ng dipercepatkan.

Katanya, setakat ini, pembelaan hanya menerima maklum balas dari AGC manakala SPRM menyatakan Ng bukan di bawah bidang kuasa mereka, sebaliknya dalam kawalan polis.

Sementara itu, prosiding perbicaraan bela diri Najib terhadap empat tuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram berjalan hari ini di Mahkamah Tinggi.

Najib dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun pada Ogos 2022 dalam perbicaraan melibatkan RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, namun hukuman itu kemudiannya dikurangkan kepada enam tahun oleh Lembaga Pengampunan.

Beliau telah menjalani hukuman penjara selama kira-kira satu tahun lapan bulan. – 21 April, 2025

Topics

 

Hangat

Sarjit admits tough Australia tour key to Speedy Tigers’ growth

National coach prioritises player development over results in challenging six-match series

Budget 2025: KBS urged to collaborate with KPKT for grassroots talent development

National junior hockey coach calls for increased funding and joint efforts between Youth and Sports Ministry and Housing and Local Government Ministry to utilise underused facilities and nurture future athletes for the 2027 SEA Games

Wan Ahmad Dahlan dilantik Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, menggantikan Zulkapli

Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, 58, dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Jabatan Perkhidmatan Awam yang baharu berkuat kuasa esok.

Related