KUALA LUMPUR — Kesatuan-Kesatuan Sekerja Pakaian Seragam Pos Malaysia mempertahankan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Berhad (Pos Malaysia), Charles Brewer berhubung kenyataannya mengenai pakaian seragam yang tular baru-baru ini.
Dalam kenyataannya, kesatuan itu berkata, Brewer tidak bermaksud merendahkan-rendahkan atau memperlekehkan kakitangan Pos Malaysia, cuma terdapat salah faham dan beliau sendiri mengakui kesilapan tersebut.
“Kesatuan telah mendapatkan penjelasan daripada beliau sehari selepas komen tersebut diviralkan. Kesatuan menyeru isu ini tidak lagi diperbesar-besarkan sehingga menimbulkan salah faham terhadap niat sebenar beliau.
“Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau menunjukkan komitmen yang tinggi dalam mendekati kakitangan di pelbagai peringkat serta berinteraksi secara langsung dengan ahli-ahli kesatuan dan kakitangan, termasuk turun padang bagi memahami serta menyelesaikan isu-isu yang dihadapi,’’ katanya hari ini.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Kesatuan Pekerja Pakaian Seragam Pos Malaysia (Upus), Upus Sarawak dan Kesatuan Pekerja Pakaian Seragam Pos Malaysia Sabah (KEPPSES).
Isu ini mendapat perhatian apabila seorang kakitangan Pos Malaysia meluahkan mengenai pakaian seragamnya yang rosak dan koyak serta mempersoalkan bila akan menerima pakaian baharu, menerusi media sosial.
Brewer kemudiannya memuat hantaran balas yang menyatakan pekerja itu bernasib baik kerana tidak bekerja dengan mana-mana syarikat penghantaran asing yang langsung tidak menyediakan pakaian seragam.
Selepas menerima kritikan kerana tidak profesional, Brewer tampil membuat permohonan maaf berhubung responnya itu.
Dalam pada itu, kesatuan memberitahu semua kakitangan telah dimaklumkan pakaian seragam baharu akan dibekalkan dan kelewatan berlaku pada tahun ini disebabkan proses penambahbaikan dari segi material dan kualiti agar ia lebih sesuai serta selesa.
“Sebagai penyelesaian sementara bagi mengatasi kelewatan pakaian seragam, pihak Pengurusan Operasi akan mengedarkan jersi Pos Malaysia kepada anggota-anggota Kesatuan yang terlibat dan proses pengedaran ini akan dilaksanakan secara bersama di antara pihak kesatuan dan pengurusan,’’ katanya.
Tambah kesatuan, demi menjaga keselamatan kakitangan di unit penghantaran, Pos Malaysia memberi komitmen untuk menambah keperluan keselamatan seperti kasut keselamatan dan sarung tangan kepada posmen serahan. – 22 April, 2025