PUTRAJAYA – Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng boleh memberi keterangan dalam perbicaraan penyelewengan dana RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Datuk Seri Najib Razak meskipun terikat dengan perintah perlindungan daripada mahkamah Amerika Syarikat.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang membuat keputusan membenarkan Ng hadir sebagai saksi berkata, Mahkamah Tinggi terikat dan tertakluk kepada bidang kuasanya sendiri dan tidak boleh tertakluk kepada mana-mana bidang kuasa asing.
Beliau berkata, perintah yang dikeluarkan mahkamah Amerika Syarikat (AS) iaitu perintah perlindungan, tidak mengikat mahkamah di negara ini.
Katanya, beliau tidak akan menunggu peguam Ng, Datuk Tan Hock Chuan untuk meminta mahkamah AS membuat perubahan kepada perintah perlindungan bagi membolehkan lelaki itu memberi keterangan dalam perbicaraan 1MDB di Malaysia.
“Ini adalah kes kepentingan awam yang telah berjalan terlalu lama, mahkamah ini tidak bersedia untuk menunggu sebarang perubahan yang diminta,” katanya.
Peguam bela utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kemudian meminta diberi masa untuk menemu bual Chong Hwa dan hakim kemudian membenarkan perbicaraan 1MDB ditangguhkan kepada sesi petang.
Terdahulu, Hock Chuan memaklumkan mahkamah, pihaknya berhubung dengan Pendakwa Raya AS yang telah menghantar surat kepadanya malam semalam, serta salinannya diberikan kepada pembelaan berhubung perintah perlindungan yang dikeluarkan Mahkamah Daerah Timur New York.
Hock Chuan berkata, menurut surat itu, anak guamnya dilarang daripada ditemu bual dan memberi keterangan di mahkamah membabitkan maklumat yang didedahkan atau dikemukakan kepada pihak pembelaan.
“Pendakwa Raya AS telah menasihatkan bahawa selepas pengesahan dengan Jabatan Kehakiman AS (DoJ), perintah perlindungan itu masih berkuat kuasa sehingga hari ini.
“Pendakwa Raya AS juga menasihatkan bahawa perintah perlindungan terpakai kepada seluruh pasukan pembelaan dan Ng.
“Oleh itu Pendakwa Raya AS telah menasihatkan supaya usul dibuat kepada mahkamah Daerah Timur New York untuk mengubah perintah perlindungan bagi membenarkan anak guam saya ditemu bual,” katanya.
Peguam itu berkata, jika terpaksa ditemu bual dan memberi keterangan di mahkamah, Pendakwa Raya AS telah menasihatkan bahawa Ng terdedah kepada liabiliti jenayah dan sekatan jenayah akan dikenakan terhadapnya.
Hock Chuan berkata, anak guamnya juga sedang merayu di Mahkamah Rayuan dan sedang menunggu keputusan.
Katanya, sebarang pelanggaran perintah perlindungan ini boleh digunakan terhadapnya dalam proses rayuan, oleh itu nasihat Pendakwa Raya AS ialah untuk mendapatkan pengubahan perintah perlindungan
Ng dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat di Brooklyn, New York, selepas didapati bersalah membantu menggelapkan berbilion dolar daripada 1MDB.
Ketua Hakim Margo Brodie memerintahkan Chong Hwa diserahkan kepada pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) untuk dikembalikan di bawah tahanan pihak berkuasa Malaysia.
Menurut surat daripada Jabatan Kehakiman AS kepada Brodie, sebaik siasatan di Malaysia selesai, lelaki itu dikehendaki dibawa kembali ke AS untuk menjalani hukumannya. – 23 April, 2025