Terengganu larang penjualan vape Ogos ini

Pengusaha vape yang ingkar akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang kecil yang digubal di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171)

10:02 PM MYT

 

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu akan menguatkuasakan larangan penjualan produk rokok elektronik (vape) di semua premis seluruh negeri mulai 1 Ogos ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Exco Negeri semalam.

Beliau berkata penguatkuasaan tersebut merupakan langkah proaktif kerajaan dalam membendung penjualan dan penggunaan produk vape yang memberi kesan negatif terhadap kesihatan rakyat terutama generasi muda.

“Antara keputusan yang dipersetujui ialah kerajaan negeri mengekalkan dasar sedia ada dengan tidak meluluskan lesen perniagaan kepada mana-mana premis yang menjual produk vape selaras dengan undang-undang kecil yang berkuat kuasa di semua kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) Terengganu.

“Syarat lesen perniagaan pula akan diperkemas bagi memastikan larangan penjualan vape dapat dikuatkuasakan sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Wan Sukairi berkata mana-mana pengusaha vape yang masih menjalankan aktiviti perniagaan selepas tempoh larangan dikuatkuasakan akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang kecil yang digubal di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) iaitu hukuman kompaun, sita dan pendakwaan di mahkamah.

Bagi menunjukkan komitmen dan ketegasan, kerajaan negeri juga memutuskan untuk tidak menerima sebarang bentuk tajaan daripada mana-mana syarikat pengeluar atau pengedar vape bagi apa jua penganjuran acara melibatkan kerajaan negeri.

“Tempoh lanjutan selama tiga bulan dari 1 Mei hingga 31 Julai 2025 akan diberikan sebelum aktiviti penguatkuasaan dilaksanakan sepenuhnya pada 1 Ogos termasuk melibatkan papan iklan berkaitan perniagaan vape.

“Bagi menjaga kebajikan pengusaha vape yang terjejas, kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) akan menawarkan penyertaan dalam kursus keusahawanan serta peluang perniagaan dalam sektor yang lebih mampan dan selamat,” katanya. – 24 April, 2025

Topics

 

Hangat

Kelantan, Terengganu PKR heads defend division chief posts

Datuk Seri Mohd Suparadi Mohd Noor retains position in Tanah Merah while Ahmad Nazri Mohd Yusof retains Kemaman

NCPR route: Activists slam Penang’s RM2.4bil ‘car-centric’ solution for endangering environment, wildlife

Environmentalists and transport advocates warn of irreversible damage as state pushes ahead with controversial Tanjung Bungah-Teluk Bahang road

Putra Heights gas explosion: MBSJ’s ROW incursion approval needs scrutiny, says planning law expert 

Just because approval is given does not make it right, reminds Derek Fernandez  

Related