KUALA LUMPUR – Status bantahan melibatkan pemilihan beberapa cabanh PKR akan diumumkan pada minggu hadapan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) itu, ia akan mengambil masa kerana jawatankuasa itu perlu meneliti semua bantahan dan aduan sebelum keputusan muktamad dibuat.
“Akan ambil masa sebab kita kena teliti semua bantahan dan aduan sebelum buat keputusan muktamad.
“Ada beberapa (bantahan) keputusan cabang dan kita akan umumkan dalam minggu depan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran projek Warisan KL: Warisan Ibu Kota Malaysia Madani oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Pemilihan bagi jawatan PKR di peringkat cabang, wanita cabang dan AMK cabang bermula 11 April lalu dan berlangsung hingga 20 April lalu.
Bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) parti berkenaan pula akan diadakan pada 24 Mei depan.
Beberapa nama seperti Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang gagal mempertahan jawatan Ketua Cabang Johor Bahru mengemukakan bantahan secara rasmi kepada JPP.
Pemimpin lain yang tewas juga mengambil langkah sama termasuk Pengarah Komunikasi PKR Lee Chean Chung (Petaling Jaya), Timbalan Ketua Penerangan PKR Chua Wei Kiat (Selayang) dan Ahli Parlimen Sungai Siput Kesavan Subramaniam yang mengambil keputusan mengemukakan rayuan rasmi kepada JPP berikutan kekalahan tipis di Cabang Sungai Siput. – 25 April, 2025