KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mengesahkan sudah menghantar surat rayuan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) susulan keputusan pemilihan Ketua Cabang Setiawangsa.
Beliau berkata, satu lagi mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) akan diadakan hari ini yang dijangka akan menyentuh soal keputusan pemilihan di peringkat cabang semasa Pemilihan PKR 2025.
“Kita sudah menghantar surat dan akan tunggu jawapan, hari ini ada mesyuarat MPP, jadi kita tunggu keputusannya,” katanya kepada media selepas melawat Pusat Konservasi Hidupan Liar (PHKL) sempena sambutan Hari Tapir Sedunia di sini, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam turut optimis dengan ombak politik yang berlaku semasa pemilihan kali ini.
“Sentiasa optimis,” katanya ringkas.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa memaklumkan bahawa status bantahan yang diterima daripada pemilihan cabang PKR akan diumum minggu depan.
Nik Nazmi tewas kepada pengarah dan pelakon terkenal, Datuk Afdlin Shauki dalam mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Cabang PKR Setiawangsa pada 19 April lalu.
Beliau hanya memperoleh 563 undi berbanding lawannya yang memperoleh 631 undi.
Pemilihan cabang PKR turut menyaksikan pemimpin kanan parti yang berjawatan Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen juga turut tewas.
Antaranya Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim (Hang Tuah Jaya), Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir (Johor Bahru), Ahli Parlimen Batu P Prabakaran (Batu) dan Ahli Parlimen Wangsa Maju Zahir Hassan (Wangsa Maju). – 26 April, 2025