KUALA LUMPUR – Malaysia akan menganjurkan dua perbincangan strategik mengenai hak asasi manusia Asean, bertujuan membentuk agenda hak asasi manusia yang berteraskan rakyat, berorientasikan masyarakat dan berpandangan jauh.
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, perbincangan tersebut, yang dipimpin oleh Pengerusi Suruhanjaya Antara Kerajaan Asean Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) dan wakil Malaysia ke AICHR, Edmund Bon Tai Soon akan berlangsung pada 28 dan 29 April ini.
Menurut Wisma Putra, dalam perbincangan pertama AICHR akan mengadakan Perbincangan Kali Kedua Mengenai Hak Kepada Pembangunan, bertujuan memperkukuh Komuniti Asean dengan merealisasikan Perkara 35 Deklarasi Hak Asasi Manusia Asean 2012.
Sesi berikutnya, kata Wisma Putra, melibatkan Perbincangan Serantau AICHR bagi menyokong pembangunan Rangka Pelan Tindakan Lima Tahun AICHR (2026–2030) selaras dengan Visi Komuniti ASEAN 2045 dan Pelan Strategiknya.
“Perbincangan ini adalah sebahagian daripada inisiatif Malaysia dalam menerajui Asean pada tahun ini dan memperkukuh komitmen AICHR dalam membentuk agenda hak asasi manusia yang berteraskan rakyat, berorientasikan masyarakat dan berpandangan jauh.
“Di bawah tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, hak kepada pembangunan adalah ditekankan sebagai asas hak asasi manusia bagi memastikan setiap individu di Asean dapat menyertai, menyumbang dan menerima manfaat daripada kemampanan ekonomi, sosial, budaya dan kemajuan politik.
“Berpandukan kepada prinsip ini, AICHR akan meneruskan usaha membangunkan Komuniti Asean dengan memajukan program-program inklusif, mampan dan responsif gender yang bertujuan membasmi kemiskinan, melindungi hak asasi manusia dan alam sekitar serta merapatkan jurang pembangunan di seluruh rantau ini,’’ katanya hari ini.
Wisma Putra juga memberitahu, perbincangan utama akan bertumpu kepada rundingan lanjut terhadap cadangan Malaysia mengenai satu Deklarasi ASEAN mengenai Promosi Hak Kepada Pembangunan dan Keamanan ke Arah Mencapai Pembangunan Terangkum dan Mampan, yang mencerminkan pendekatan ‘Asean-led, Asean-owned’ dan ‘whole-of-Asean’.
Manakala sesi perbincangan tematik, kata Wisma Putra, akan menonjolkan hubung kait antara hak asasi manusia, keamanan dan hak kepada pembangunan dengan delegasi merangka strategi-strategi bagi memperkukuh perlindungan hak tersebut dalam semua dimensi ekonomi, sosial, budaya dan politik.
“Ucaptama akan disampaikan oleh Setiausaha Bahagian (Tugas-tugas Khas), Pasukan Petugas Peringkat Tinggi Visi Komuniti Asean Pasca-2025, Datuk Suhaimi Jaafar dan Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Kepada Pembangunan, Profesor Dr. Surya Deva,’’ katanya.
Wisma Putra juga memberitahu, delegasi termasuk wakil-wakil dari AICHR, badan-badan sektoral ASEAN, pertubuhan masyarakat sivil dan pakar-pakar hak asasi manusia. – 27 April, 2025