KUALA LUMPUR — Had pembelian beras putih tempatan 10kg telah dinaikkan kepada lima kampit bagi setiap transaksi, berbanding dua kampit sebelum ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, langkah berkenaan dibuat selepas bekalan beras putih tempatan kembali stabil hasil pelbagai langkah intervensi yang dilaksanakan sejak beberapa bulan lalu.
Menurutnya, sebanyak 3.16 juta kampit beras putih tempatan 10kg itu telah diagihkan melalui lebih 47,000 premis runcit berdaftar sehingga pertengahan bulan ini.
‘Beras putih tempatan boleh beli lebih daripada dua kampit, cuma tak boleh lebih daripada lima kampit,’’ katanya ketika berucap pada Perhimpunan ada Perhimpunan Bulanan dan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri KPKM 2025, di Serdang, hari ini.
Mohamad memberitahu, negeri-negeri seperti Selangor, Perak dan Johor mencatatkan angka pengedaran tertinggi.
“ Inisiatif ini merupakan antara usaha utama kementerian untuk sentiasa memastikan bekalan beras negara terpelihara,” katanya. – 28 April, 2025