‘Saya tidak tahu bagaimana perasaan melihat kerusi kosong beliau dalam mesyuarat Kabinet minggu ini’: Hannah

Beliau mempunyai misi tersendiri dalam setiap pekerjaan yang dijalankan : Hannah

10:02 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – “Hati saya begitu pilu dan remuk redam menerima perkhabaran semalam. Beliau mempunyai misi yang tersendiri,” demikian luahan Hannah Yeoh susulan pemergian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, malam tadi.

Menurut Menteri Belia dan Sukan itu, Allahyarham Salahuddin disifatkan sebagai sahabat baik beliau yang paling istimewa dan mereka berjuang bersama-sama di dalam Pakatan Harapan (PH).

“Bila mana buku saya Becoming Hannah digunakan sebagai senjata politik untuk menyerang saya, Salahuddin Ayub-lah antara yang bangun mempertahankan saya. Sebagai ahli politik DAP yang beragama Kristian, saya sering dijadikan modal serangan oleh pihak lawan untuk menakutkan orang Islam.

“Taktik ini menyebabkan sesetengah orang termakan hasutan atau menjauhkan diri daripada saya, tetapi tidak buat Salahuddin, malah beliau menjadi lebih rapat dengan saya yang tentunya mempunyai tempat yang istimewa dalam hati saya. Selalu saya beri tahu beliau yang saya tidak akan pernah lupa budi baik beliau kepada saya,” katanya menerusi entri di dalam Facebooknya.

Allahyarham Salahuddin, 61, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah pada 9.23 malam tadi setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.

Mengulas lanjut, Hannah berkata beliau tidak dapat membayangkan perasaannya apabila melihat kerusi kosong Salahuddin dalam mesyuarat Kabinet minggu ini.

“Berat sungguh hati ini membayangkannya. Saya boleh terus menerus menulis dedikasi ini, namun saya sedar tulisan ini tidak akan mengembalikan beliau. Suami saya memeluk saya yang menangis selepas saya pulang daripada program terakhir saya malam tadi. Kudrat saya terhenti di situ malam tadi. Beliau memahami kehilangan kali ini amat berat buat saya untuk menerimanya,” katanya.

Hannah turut mengimbau bagaimana Salahuddin bangun di dalam Parlimen dan mempertahankannya ketika mantan Menteri membuat komen murahan semasa perbahasannya.

Malah kata Hannah, ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan senarai Kabinet, Salahuddin telah menghantar mesej dan bertanyakan kepadanya sama ada beliau gembira dengan pelantikannya ke jawatan Menteri.

Hannah memaklumkan beliau ‘takut’ kerana membayangkan tugas Menteri Kabinet yang menakutkan namun keberadaan Salahuddin di dalam mesyuarat Kabinet telah menenangkannya.

“Bilamana warna kulit, kaum dan agama menjadi modal politik bagi sesetengah ahli politik untuk memecah belahkan rakyat, saya bersyukur kepada Tuhan kerana mempunyai sahabat seperti Salahuddin.

“Buat rakyat Malaysia, hari ini, semakin sukar untuk memperoleh erti persahabatan yang tulen dan yang mampu mengubah hidup melangkaui bangsa, agama dan fahaman politik dan bahkan generasi anda sendiri.

“Melalui Salahuddin, saya merasai kebaikan dan ketentuan Tuhan. Salahuddin memahami cinta dan keyakinan saya kepada Yang Maha Esa. Tuhan benar-benar mengurniakan saya seorang sahabat sejati.

“Saya tak mampu mengungkapkan kata-kata supaya anda berehat wahai sahabat, saya belum bersedia melepaskan anda pergi. Saya benar-benar belum bersedia,’’ demikian luahan hati Hannah, yang kehilangan seorang sahabat baik. – 24 Julai, 2023

Topics

 

Hangat

Rumah agam Sharifah Aini dirobohkan, ada persoal mengapa kerajaan tidak jadikan muzium?

Rumah agam milik biduanita negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini yang selama ini menjadi lambang kemewahan anak seni tempatan yang benar-benar sukses dalam bidang nyanyian sedang dalam proses untuk dirobohkan.

BAM confirms salary increment demands from top players, review process underway

Acting president Datuk V. Subramaniam acknowledges requests for salary increments and emphasises ongoing discussions to assess their feasibility

Mat Sabu says rice supply can last four to five months

There is sufficient rice supply to cover the country’s domestic needs for the next four to five months, said Agriculture and Food Security Minister Datuk Seri Mohamad Sabu.

Related