SABAK BERNAM – Mentarang atau nama saintifiknya Pholas Orientalist adalah makanan eksotik yang semakin digemari ramai serta menjadi sumber pendapatan kepada penduduk di sepanjang Pantai Sekinchan hingga Sg Burong di Sg Besar.
Bagaimanapun, ketika populariti mentarang semakin meningkat, hidupan laut itu berdepan dengan kepupusan akibat sifat tamak sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab mengganggu habitat mentarang berkenaan.
Menurut salah seorang penjual mentarang, Muhammad Fairuz Hafiz Abdullah, 22, kebanyakan pencari siput mengutip mentarang yang belum mencapai usia matang, seperti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Tindakan itu telah menyebabkan hidupan tersebut pupus di Sekinchan sejak 2019 lagi dan menjadikan peniaga tepi jalan seperti kami terjejas teruk sehingga terpaksa mendapatkan bekalan mentarang di Kedah, untuk memenuhi permintaan pelanggan.
“Disebabkan keadaan ini, kita terpaksa menaikkan harga RM40 ke RM45 sekilogram sejak 2021 berbanding RM30 sebelum ini, namun pembeli tidak perlu risau bagaimana untuk membersihkannya kerana kami telah membuang lumpur dan juga pasir serta sedia untuk dimasak, ” katanya ketika ditemui Scoop di Pasir Panjang, Sekinchan, hari ini.

Mengulas lanjut, Fairuz berkata adalah sukar untuk menentukan harga mentarang kerana pihak penjual juga terpaksa membeli mentarang pada harga yang mahal daripada pencari makanan laut itu.
Jika harga terlalu mahal, ujarnya, dikhuatiri pelanggan tidak mahu membeli dan jika terlalu murah pula, ia boleh menimbulkan kesukaran kepada penjual mentarang.

Dalam pada itu, pengusaha Restoran Faridah Mentarang Bakar, Sazali Zainal, 64, mengakui sukar mendapatkan bekalan mentarang segar menyebabkan dia terpaksa mempelbagaikan jualan seperti belangkas, siput pepahat, kupang, lala selain ikan bakar.
Disebabkan kepupusan sepsis mentarang ini, Sazali terpaksa mendapatkan bekalan di Kuala Perlis selain bekalan sejuk beku dari Tanjung Balai, Indonesia.

“Ada sesetengah pencari kerang mengutip mentarang yang masih kecil. Kita berharap Jabatan Pertanian Selangor memantau perkara ini sebelum spesis kerang ini hanya tinggal nama.
“Agensi berkaitan juga perlu melakukan kajian secara terperinci agar dapat mencari jalan bagaimana untuk menternak mentarang. Kalau perlu digazetkan kawasan itu bagi tujuan tersebut, sudah pasti tiada masalah,’’ katanya. – 2 Ogos, 2023