2,400 tahun dahulu, manusia percaya bahawa alam semesta bergerak mengelilingi Bumi dalam satu orbit geosentrik. Kepercayaan bahawa Bumi merupakan pusat putaran alam semesta ini dipegang teguh oleh hampir kesemua orang hinggalah 600 tahun lalu apabila Matahari dipercayai merupakan pusat kesemua planet dalam sistem suria.
Dengan pertemuan galaksi-galaksi lain, kita kini percaya bahawa kesemuanya membuat orbit yang tidak berpusat. Itulah naratif yang kita pegang sekarang, hinggalah suatu penemuan baharu dibuat yang akan mengubah naratif tersebut.

Baru-baru ini terdapat satu tunjuk perasaan di luar pintu pagar sebuah universiti awam terkenal yang membantah penganjuran sebuah persidangan yang dikatakan akan membincang dan merumuskan naratif berhubung dengan Kedah Tua.
Kononnya, naratif ini akan ditentukan oleh mereka yang tidak akan mengutamakan kepentingan sesuatu kaum dan agama. Kepercayaan ini berlandaskan beberapa pendapat yang diutarakan oleh mereka yang tidak pernah dilatih dalam disiplin Sejarah ataupun Arkeologi.
Sebagai seorang yang dilatih khusus dalam bidang Sejarah di salah sebuah universiti awam terkenal dalam negara, saya akan cuba menerangkan kepada anda kenapa tunjuk perasaan tersebut merupakan perbuatan sia-sia.
Pembuktian itu penting
Bolehkah sesiapapun menulis mengenai sejarah? Sudah tentu boleh. Malah, anda juga boleh menulis satu kertas kerja mengenai keberkesanan tenaga fisyen nuklear jika anda mahu.
Tetapi, terdapat beberapa faktor yang perlu anda pertimbangkan dan syarat-syarat yang perlu dipenuhi sebelum penulisan anda itu boleh diterima khalayak, terutamanya oleh mereka yang ahli dalam bidang tersebut. Antaranya ialah piawaian bukti-bukti serta sumber-sumber yang digunakan, dan bagaimana anda menterjemahkan penemuan-penemuan tersebut. Sumber-sumber pula mestilah sumber-sumber empirikal atau sumber-sumber akademik yang telah disemak oleh pakar-pakar dalam bidang yang sama. Sekiranya sumber-sumber anda adalah daripada artikel media sosial, lebih baik anda menulis novel cinta dan sebagainya. Anda perlu penuhi etika-etika yang perlu semasa membuat kajian, dan haruslah melalui proses kritikan teliti oleh pakar-pakar dalam bidang tersebut untuk memastikan kajian anda itu mematuhi piawaian yang ketat dan sangat boleh dipercayai. Sekiranya anda menulis berdasarkan pendapat peribadi, maka itu bukan lagi penulisan akademik. Itu hanyalah dakyah atau propaganda yang diada-adakan.
Bebas dari sifat berat sebelah
Kajian anda juga harus bebas dari sebarang sifat berat sebelah. Ini bermakna anda tidaklah boleh menulis untuk memenangi suatu pihak atau menidakkan pihak yang lain. Anda juga perlu bersikap objektif supaya bebas dari sebarang sifat berat sebelah. Kita tidak boleh adakan suatu naratif dan kemudiannya membuat bukti-bukti rekaan untuk memenuhi naratif tersebut. Pensejarahan itu perlu bebas dari sebarang sentrik seperti etnosentrisisme, anakronisme, politosenstrisisme, religiosentrisisme dan lain-lain ketidak-imbangan.
Dalam kes tunjuk perasaan tersebut, ianya merupakan emosi yang berlandaskan entnosentrisisme dan religiosentrisisme. Antara dakwaan yang dibuat ialah bahawa orang Melayu di Kedah Tua adalah beragama Islam dan bukan Hindu-Buddha seperti naratif yang sedia ada.
Walau bagaimanapun, setakat ini tidak ada sebarang penemuan yang telah dibuktikan yang menunjukkan orang-orang Melayu di Kedah Tua menganuti satu agama mirip Islam mahupun Islam dalam bentuk awal. Kita telah membuat penemuan bahan tinggalan dengan rangka-rangka prasejarah dari era paleolitik dan neolitik seperti Perempuan Pulau Pinang (6,000 tahun), Lelaki Perak (11,000 tahun), Perempuan Nenggiri (14,000 tahun). Tetapi tidak satu peninggalan pun yang menunjukkan sebarang bukti anutan agama mirip Islam, malah lebih berunsur animisme.
Ini juga tidak bermakna keseluruhan orang Melayu di Kedah Tua dipengaruhi agama Hindu-Buddha. Hampir kesemua candi yang ditemui di kawasan Lembah Bujang telah dibina antara kurun ke-4 hingga kurun ke-13 Masihi. Kesemuanya dijumpai ditapak-tapak perdagangan kuno seperti di Sungai Batu, Kampung Pendiat, Pengkalan Bujang dan Kampung Sungai Mas.
Hanya candi di Bukit Choras dan Bukit Batu Pahat yang sedikit jauh daripada tapak-tapak lain. Kesemuanya bersaiz kecil berbanding Angkor Wat, Candi Borobudur, Candi Gedingsuro dan Candi Welan. Ini bermakna candi-candi di Lembah Bujang pernah mempunyai fungsi sebagai tempat beribadat untuk para pedagang dari benua India dan China, dan juga sejumlah kecil orang-orang Melayu yang terlibat dalam aktiviti-aktivi berkaitan perdagangan antarabangsa di tempat-tempat berikut. Ianya bukan dibina untuk para penganut agama Hindu-Buddha dalam jumlah yang besar. Ini bermakna, hanya sejumlah yang kecil orang-orang Melayu tempatan yang menerima agama Hindu-Buddha di Kedah Tua. Perkara ini dikuatkan lagi dengan ketiadaan sebarang candi yang dibina sama ada di kawasan pedalaman termasuk di hulu Sungai Muda yang menjadi tumpuan pedagang mahupun selepas kemerosotan Kedah Tua sebagai destinasi pilihan selepas kurun ke-14. Sekiranya para penduduk tempatan di Kedah Tua beragama Hindu-Buddha, sudah tentu akan terdapat lebih banyak candi yang ditemui oleh para pengkaji yang sudah mengkaji sejak akhir kurun ke-19 lagi.

Professor bukan serba tahu
Antara mereka yang gemar bercerita mengenai Kedah Tua, khususnya Sungai Batu, ialah Professor Dr Nik Najah Fadilah binti Haji Yaacob atau lebih dikenali dalam dunia Internet sebagai Professor Dr Solehah Yaacob. Dr Solehah ialah seorang professor bidang tatabahasa Bahasa Arab di sebuah universiti awam di Gombak. Beliau bukanlah seorang yang pernah dilatih dalam disiplin sejarah ataupun arkeologi. Saya kagum dengan kegigihan beliau dalam membuat kajian mengenai sejarah. Oleh kerana beliau seorang yang bergelar “Professor,” maka sudah tentu ramai yang mempercayai apa yang diutarakan oleh beliau dari masa ke semasa.
Hakikatnya, seorang graduan ijazah sarjana muda dalam bidang Sejarah lebih berpengetahuan mengenai sejarah berbanding seorang Professor yang bidangnya bukan sejarah. Ini adalah kerana seorang graduan ijazah sarjana muda bidang Sejarah perlu mempelajari mengenai sejarah dunia melalui tempoh-tempoh masa seperti prasejarah, proto-sejarah, sejarah tradisional dan sejarah moden. Seorang Professor hanya akan membuat kajian khusus mengenai sesuatu, bukan kesemua benda. Sebab itu seorang professor sepatutnya tahu mengenai ruang lingkup yang menjadi pengkhususan beliau. Contohnya, saya pernah berdiskusi dengan Professor Emeritus Dr Anthony Milner, seorang pakar sejarah dari Australia yang banyak membuat kajian mengenai Asia Tenggara dan Malaysia. Tetapi pengkhususan beliau ialah mengenai sejarah politik tradisional. Beliau langsung tidak cuba untuk tunjuk bahawa beliau juga ahli mengenai proto-sejarah Malaysia, terutamanya mengenai Kedah Tua kerana itu bukan kajian beliau.

Oleh itu, saya lebih suka sekiranya Professor Dr Solehah mengemukakan dan membentangkan kajian beliau kepada mereka yang ahli, supaya dapat dinilai segala kajian yang sering beliau uar-uarkan dalam media sosial. Media sosial bukanlah pentas untuk seorang pengkaji memperoleh penilaian akademik. Sudah tentu juga adalah lebih baik sekiranya kajian beliau tidak melibatkan nabi-nabi sekiranya beliau tidak boleh kemukakan sumber-sumber beliau. Itu bukan lagi sejarah, tetapi itulah contoh dakyah. Sepertimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Barangsiapa yang berdusta di atas namaku dengan sengaja maka siaplah tempatnya di dalam neraka.” [Riwayat al-Bukhari (110)].
Sebarang perbalahan yang melibatkan kaum dan agama tidak akan menguntungkan sesiapa. Kenapa perlu kita mendabik dada mengatakan kita lebih tinggi darjat berbanding lain-lain kaum sedangkan Allah SWT menganggap kita semuanya sama? Adakah sifat kita orang Melayu perlu takbur dan merasakan diri kita lebih suci berbanding lain-lain kaum? Adakah sifat orang Melayu itu lebih besar dan agung berbanding Allah SWT? Kalau tertasdik orang yang kita hina itu untuk menerima Islam, tidakkah dia lebih suci dan bersih dari dosa berbanding kita? Tetapi bagaimana mereka hendak menerima sekiranya kita bersikap seperti sekarang?
Oleh itu, kita perlu terima naratif menurut penemuan terkini. Sebagai ahli akademik, lebih baik kita berlapang dada. Setiap kajian dan penemuan dalam sejarah ini perlulah menjurus kepada pengukuhan negara bangsa dan rakyatnya. Bukannya mempelopori perpecahan dan pergaduhan antara kaum. Sekiranya kita ada bukti-bukti dan penemuan lain maka bentangkanlah untuk kajian ahli-ahli yang lain juga. Sekiranya diterima, maka mereka perlu akui naratif itu pula. Kita nak berbangga dengan apa sebenarnya? Kisah silam yang palsu, ataupun kisah silam yang berasaskan pembuktian? Semoga kita semua dipelihara daripada perbuatan sia-sia.
Kapten Abdul Rahmat Omar (Bersara) adalah Pengerusi Biro Keselamatan, Pertahanan, Ketenteraman Awam dan Dunia Persilatan, Majlis Perundingan Melayu