KUALA LUMPUR — Baru sahaja bergelar isteri kepada seorang berpangkat Datuk, pelakon popular Intan Najuwa akui dirinya kekok apabila dipanggil dengan gelaran Datin.
Menurut Intan atau nama lengkapnya Intan Najuwa Abdul Wahid, 26, statusnya sebagai Datin tidak membawa apa-apa perubahan kepada dirinya, malah dia lebih selesa andai dipanggil dengan nama Intan sahaja.
“Sejujurnya saya agak ‘awkward’ apabila ada yang sudah mula memanggil saya Datin. Saya sudah terbiasa orang panggil saya Intan.
“Saya rasa diri saya masih Intan yang biasa seperti sebelum ini. Orang kenal saya sebagai Intan Najuwa, jadi saya mahu kekalkan sebegitu kerana pada saya gelaran Datin itu tidak membawa apa-apa pada saya” katanya ketika ditemui di pertunjukan fesyen Rizman Ruzaini sempena Minggu Fesyen Kuala Lumpur.
Kongsi Intan lagi, ada di kalangan rakan-rakannya juga sudah mula memanggilnya datin, tetapi dia menolak dan meminta mereka memanggilnya, Intan.
Bercerita pengalamannya bertukar status sebagai seorang isteri, kata pelakon drama Ironi Kasih ini, dia kadang-kadang terlupa bahawa dia sudah punya suami.
“Saya adalah seorang wanita yang berdikari. Setiap apa keputusan saya akan lakukan sendiri. Tetapi kini saya sudah punya suami. Apa-apa keputusan saya kena tanya dia dulu. Sampai ibu saya sendiri ingatkan saya, bahawa saya kini sudah punya suami, dan perlu minta izin suami dahulu sebelum buat apa-apa,” kongsinya.
Intan dan suaminya, Datuk Ahmad Azraf Azman, 39, telah diijabkabulkan pada 18 Ogos lalu dalam sebuah majlis yang berlangsung di Desaru Coast, Johor.
Pada majlis itu, Intan telah menerima mas kahwin berjumlah RM20,000 dan hantaran bernilai RM222,000. – 27 Ogos, 2023