KUALA LUMPUR – Penyanyi muda popular, Naim Daniel mengakui dia kini sedang mengenali seseorang tetapi belum bersedia untuk mendedahkan identiti gadis yang berjaya mencuri hatinya itu.
Menurut pelantun lagu Sumpah dan Purnama ini, walaupun sudah lama mengenali gadis tersebut yang juga penggiat seni, mereka masih lagi dalam proses mengenali hati budi masing-masing.
“Alhamdulillah saya gembira dan seronok kerana akhirnya dapat berjumpa dengan orang sama ‘gila-gila’ dengan saya, memahami diri dan mempunyai gelombang pemikiran yang sama.
“Yang kelakarnya, kami berdua tidak pernah bekerja sekali dan dia memang baik orangnya. Dia juga datang daripada keluarga yang baik-baik,” katanya.
Mengakui sudah mengenali keluarga gadis berkenaan, Naim bagaimanapun berkata, dia masih belum memikirkan waktu sesuai untuk menamatkan zaman bujangnya.
“Umur saya sudah 26 tahun dan memang saya nak kahwin. Tapi, banyak benda saya nak fikir lagi. Masalahnya, kalau saya kahwin pada usia 30 tahun, nanti anak saya masih lagi kecil.
“Tapi, takkan saya nak kahwin tahun depan pula. Tengoklah macam mana nanti. Sebenarnya, sama ada tengah bercinta atau sedang patah hati, saya lebih suka simpan sendiri,” katanya.
Ditemui pada sidang media Konsert Patah Hati 2.0, Naim berkata, dia sekali lagi akan tampil membuat persembahan dengan kumpulan muziknya yang dinamakan Muah.
“Saya memang menolak keras apabila orang menggelar saya dan kumpulan muzik ini sebagai Naim Daniel & The Band. Nama band saya Muah yang bermaksud ‘Muzik Untuk Anak Healing’ dan ahli kumpulan ini terdiri daripada rakan kolej saya.
“Kumpulan muzik ini mempunyai lima ahli termasuk saya sendiri dan saya adalah salah satu gitaris. Walaupun sekarang ini saya bergerak dengan band, tapi kerjaya nyanyian solo tetap diteruskan,” katanya.
Pada masa sama, Naim turut berkongsi dirinya sibuk berlakon untuk Siri Original Astro baharu menggantikan High Council.
“Dalam siri baru lapan episod yang berjudul The Golden Goose ini, saya jadi teman lelaki kepada Amelia Henderson.
“Tapi, Aedy Ashraf pun berlakon juga dalam cerita ni dan dia akan benci dengan saya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Naim juga bakal menjalani uji bakat untuk filem Keluang Man arahan Anwari Ashraf Hashim dalam tempoh masa terdekat.
“Tapi bukan hanya watak sebagai Keluang Man sahaja saya akan cuba, tapi juga watak lain. Mana yang dapatlah.
“Cuma kalau saya dapat watak Keluang Man, ia akan jadi filem super hero yang pertama dan mendapat watak yang cukup ikonik itu sangat penting,” katanya.
Mengenai single solo baharunya pula, Naim menyifatkan tahun ini sebagai tahun yang sibuk kerana dia banyak menghasilkan lagu untuk penyanyi lain.
“Saya buat lagu untuk Marsha Milan dan saya juga sedang berbincang dengan Datin Alyah untuk menghasilkan single terbaharunya.
“Saya memang sedang bercuti panjang untuk menghasilkan single solo baharu dan ambil masa untuk tumpukan pada kerjaya nyanyian solo saya semula. Insya-Allah tahun depan saya akan keluar dengan single baharu,” katanya.
Konsert Patah Hati 2.0 bakal dijayakan Naim Daniel bersama Ismail Izzani, Neeta, Aisha Retno, Nadeera dan Bunkface.
Ia bakal diadakan di Zepp Kuala Lumpur pada 23 November ini. – 6 September, 2023