KUALA LUMPUR – Bintang Friends, Matt LeBlanc menulis mesej penuh emosi buat sahabat sangat disayanginya yang juga pelakon sitkom televisyen itu, Matthew Perry.
Mesej itu dicoret menerusi hantaran di Instagram hari ini, sebagai penghormatan kepada Matthew yang meninggal dunia kira-kira dua minggu lalu, selepas ditemui lemas dalam tab mandi panas di kediamannya di Los Angeles.
LeBlanc yang membawa watak sebagai Joey Tibanni dalam Friends yang pernah mencetuskan fenomena seluruh dunia selama sedekad, bukan sahaja rakan baik kepada Matthew yang memegang watak sebagai Chandler Bing, malah rakan serumahnya.
Pemergian Matthew pastinya memberikan kesan cukup mendalam buat LeBlanc.
“Matthew. dengan berat hati saya mengucapkan selamat tinggal. Masa kita lalui bersama adalah antara momen amat saya suka dalam hidup saya.
“Menjadi penghormatan untuk berkongsi pentas dengan anda dan menggelar anda sebagai kawan saya,” tulisnya.
LeBlanc juga berkongsi siri foto bersama Matthew ketika mereka membintangi Friends dengan kapsyen, “Saya akan sentiasa tersenyum apabila saya memikirkan awak dan saya tidak akan melupakan awak. Tidak pernah. Kembangkan sayapmu dan terbanglah saudara, akhirnya kamu bebas.”
Dia kemudian secara berseloroh menutup katanya-katanya dengan mesej, “Saya rasa anda menyimpan AS$20 (RM93.25) yang anda berhutang dengan saya.”
Minggu lalu, Jabatan Kesihatan Awam Daerah Los Angeles mengeluarkan sijil kematian rasmi Matthew dan mengesahkan tiada sebarang jenis dadah ditemui dalam tubuhnya ketika dia meninggal dunia.
Dokumen itu menyatakan bahawa punca kematian Matthew ‘ditangguhkan’ berikutan pihak berkuasa pada bulan lalu memaklumkan, keputusan bedah siasat tidak dapat disimpulkan dan mereka masih menunggu laporan toksikologi penuh.
Pelakon itu dikebumikan dalam majlis pengebumian secara tertutup pada 3 November lalu.
Seperti dilaporkan, Matthew, 54, meninggal dunia pada 28 Oktober di rumahnya di California Selatan.
Beberapa hari selepas kematian mengejutnya, LeBlanc dan empat lagi pelakon Friends, Jennifer Aniston, Courteney Cox, Lisa Kudrow dan David Schwimmer mengeluarkan kenyataan bersama mengenai kematian sahabat serta rakan sekerja mereka itu.
“Kami semua sangat kecewa dengan kehilangan Matthew. Kami lebih daripada sekadar rakan pelakon. Kami adalah sebuah keluarga.
“Terdapat banyak perkara perlu diungkap, tetapi sekarang kami akan meluangkan sedikit masa untuk berduka dan menerima hakikat kehilangan tidak terduga ini,” kata mereka.
Kaki Scoop juga amat terasa dengan kehilangan Matthew dan terima kasih kerana menghiburkan peminat Friends sepanjang sedekad. – 15 November, 2023