KUALA LUMPUR – Pelakon, Azlan Komeng menjelaskan isterinya, Nur Nilam salah faham mengenai kenyataannya dengan menganggap lafaz talak sudah berlaku antara mereka.
Menurut Azlan atau nama sebenarnya Muhammad Azlan Kamiran, 47, dia dan isteri bergaduh atas sebab perniagaan.
Selepas pergaduhan itu, katanya, dia memberitahu Nur Nilam untuk mereka membuat hal masing-masing, sebelum meninggalkan kediaman.
Namun, dia berkata, isterinya menganggap kata-kata Azlan itu sebagai lafaz talak dan mendedahkan kepada umum bahawa mereka sudah bercerai.
“Isteri saya sebenarnya dia bukan orang Melayu. Dia berdarah kacukan Siam dan Sepanyol. Jadi dia kurang faham dengan istilah sebenar penceraian.
“Sewaktu kami bergaduh tempoh hari, sebagai seorang lelaki saya akui ada silapnya. Disebabkan terlalu ikutkan perasaan, saya keluar dari rumah kerana tidak mahu perkara lebih buruk berlaku.
“Menurut dia saya sudah pun menceraikannya. Jadi bila saya balik rumah, dia cakap bahawa dia beritahu pada semua yang kami sudah bercerai.
“Saya tanya apa yang dia buat ini. Untuk dapatkan kepastian, kami pergi ke mahkamah. Bila cakap dengan hakim, hakim pun gelak. Tetapi saya rasa perkara ini perlu juga saya kongsikan kepada umum kerana ramai juga di luar sana yang berkahwin dengan bukan Melayu,” katanya ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Anak Perjanjian Syaitan 2.
Jelas Azlan, penceraian itu sama sekali tidak berlaku kerana dia tidak menyebut perkataan yang menjatuhkan talak kepada isterinya.
“Perkara ini bukan perkara yang kita boleh buat main. Saya orang Johor, saya pergi sekolah agama.
“Selepas perkara itu berlaku esoknya cepat-cepat kami ke mahkamah untuk mendapatkan kepastian.
“Maafkanlah isteri saya kerana terlalu cepat membuat interpretasi,” jelasnya.
Pelakon filem Remp-It itu turut menyangkal rumah tangganya dikatakan bergolak kerana kehadiran orang ketiga.
“Tiada orang ketiga. Saya berani cakap kalau betul saya ada buat jahat dengan perempuan lain selepas saya menikah dengan isteri saya, tunjukkan. Kalau benar saya ada skandal selepas menikah dengan isteri saya, saya tiada masalah untuk mengaku.
“Sebenarnya ada isu lain yang belum saya bongkarkan. Ada beberapa individu yang kembali dan cuba mengganggu isteri saya.
“Mereka tak hubungi saya pun kalau betul mereka inginkan saya kembali. Tetapi kenapa mesti ganggu isteri saya? Gangguan ini sudah ada sejak mula kami menikah kira-kira dua tahun lalu,” kongsinya.
Ditanya adakah gangguan itu disebabkan dendam lama, kata Azlan, dia tidak pernah menganiaya bekas teman wanitanya.
“Hubungan saya dengan bekas-bekas isteri tak pernah ada masalah. Yang mengganggu ini adalah bekas-bekas teman wanita saya.
“Saya akui saya bukanlah baik. Tetapi saya tak pernah menganiaya mereka. Semuanya saya sudah selesaikan sebelum saya menikah. Saya sudah beritahu mereka bahawa saya tidak mahu lagi. Kalau mereka masih mahukan saya, mintalah pada Allah.
“Bagi saya selepas saya dah kahwin, saya tak mahu siapa-siapa lagi. Saya sudah buat solat taubat di atas kesalahan saya. Tetapi saya tak boleh menolak takdir. Kalau Allah nak beri saya jodoh lagi, biarlah kali ini yang terbaik.
“Tetapi apa yang saya mahu lakukan sekarang adalah perkemaskan diri saya. Saya mahu jadi lebih sabar, juga menjadi suami dan bapa yang baik,” katanya.
Terdahulu, pada 30 November lalu, menerusi sesi ‘live’ di Tik Tok, Nur Nilam mendedahkan dia sudah bercerai dengan Azlan Komeng dan akan ke mahkamah untuk pengesahan lafaz cerai.
Namun, lafaz itu tidak sah dan Nur Nilam kembali taat kepada suami. – 6 Disember, 2023