Kaka Azraff kini bergelar artis bebas, kongsi pengalaman bertemu Menteri Komunikasi 

Menurut Kaka, dia kini mahu bergerak sendiri sebagai artis bebas dan berterima kasih kepada kerajaan kerana mengambil berat tentang anak seni 

4:51 PM MYT

 

BANGI – Penyanyi sensasi, Kaka Azraff memberitahu dia kini bergelar artis bebas tanpa terikat dengan mana-mana syarikat rakaman.

Menurut Kaka atau nama sebenarnya Nor Atika Nokr Azraff, 35, dia mahu memulakan tahun baharu 2024 dengan sesuatu yang baru dan ingin melupakan kontroversi yang pernah terpalit dengannya tahun lalu.

Kaka melangkah ke tahun baru dengan semangat untuk lebih bebas berkarya dan melupakan kontroversi yang pernah terpalit. – Gambar Helmi Anuar, 15 Januari, 2024

“Saya dah move on dengan isu yang berkait dengan saya kerana ia berlaku pada tahun lepas.

“Tahun ini apa yang lebih penting ialah perancangan untuk karier saya. Selepas apa yang terjadi, kini saya bergerak sendiri sebagai artis bebas setelah sekian lama.

“Saya rasa untuk melakukan perkara ini (bergerak sendiri) memerlukan keyakinan diri yang sangat tinggi,” katanya ketika ditemui di program bual bicara Menangani Krisis, Membina Reputasi anjuran pelajar Ijazah Sarjana Pengurusan Komunikasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini. 

Ditanya tentang pertemuannya bersama Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pada minggu lalu, kata Kaka, pertemuan itu lebih kepada perkongsian apa yang telah terjadi padanya serta perancangannya sebagai anak seni.

“Bila sesuatu terjadi kepada penyanyi seperti kes saya, saya rasa badan kerajaan memainkan peranan besar untuk menaikkan keyakinan saya.

“Kita tiada akta muzik. Tetapi kerajaan masih mengambil berat tentang anak-anak seni dan perjalanan kami. Saya rasa bersyukur dan gembira bila tahu bahawa saya tidak keseorangan,” katanya.

Kongsi Kaka, pertemuan itu juga membuka matanya sebagai anak seni bahawa terdapat pelbagai bantuan daripada kerjaaan untuk artis mengembangkan lagi kreativiti mereka.

“Kita ada bantuan dana contohnya daripada My Creative dan banyak lagi. Benda-benda ini semua sepatutnya anak seni perlu tahu yang kita ada kerajaan yang boleh membantu.

“Tidak perlu ingat bahawa syarikat rakaman sahaja yang boleh bantu kita. Sebenarnya ada banyak lagi cara dan ruang. Saya sendiri baru nampak benda ini. Kerajaan sangat peduli kepada anak seni. Kita bukan sekadar muzik, tetapi juga memberi impak kepada negara,” jelasnya.

Anak saudara kepada Ella ini juga menganggap apa yang menimpanya tahun lalu sebagai satu hikmah untuknya.

“Bila perkara ini terjadi, baru saya tahu ada ramai yang berada di belakang saya, menyokong dan memberi kata-kata semangat termasuklah rakan artis, rakan industri, teman media dan peminat.

“Alhamdulillah, rezeki saya dalam bidang nyanyian juga tidak putus. Masih ada tawaran yang diterima.

“Saya juga masih boleh menyanyikan lagu-lagu saya kerana yang punya hak ke atas lagu adalah pencipta,” kongsinya.

Selepas kontraknya ditamatkan oleh Warner Music Malaysia, Kaka akui ada beberapa syarikat rakaman yang melamarnya untuk bernaung di bawah syarikat mereka, namun dia mahu cuba untuk bergerak sendiri.

Kaka juga dalam perancangan untuk keluarkan lagu terbarunya tidak lama lagi.

Terdahulu, pada penghujung tahun lalu nama Kaka Azraff menjadi topik hangat selepas dia ditamatkan kontrak bersama Warner Music Malaysia gara-gara mengeluarkan komen tentang konflik Palestin-Israeli. – 15 Januari, 2024

Topics

 

Popular

Sarjit admits tough Australia tour key to Speedy Tigers’ growth

National coach prioritises player development over results in challenging six-match series

Vehicles plough into pedestrians in vicious hit-and-run attack near Old Klang Road

Two individuals left injured as sedan and pickup truck deliberately ram into group, police probe attempted murder

Budget 2025: KBS urged to collaborate with KPKT for grassroots talent development

National junior hockey coach calls for increased funding and joint efforts between Youth and Sports Ministry and Housing and Local Government Ministry to utilise underused facilities and nurture future athletes for the 2027 SEA Games

Related