KUALA LUMPUR — Pernah viral di TikTok gara-gara sering menyanyikan lagu cover, bakat baharu, Iera Milpan, 22, sama sekali tidak menyangka tuah akan berpihak kepadanya apabila berpeluang menjadi penyanyi rakaman sejak pertengahan tahun lalu.
Menurut Iera kepada Scoop, segalanya bermula apabila dia membawakan lagu Balasan Janjimu yang pernah dipopularkan kumpulan Leon yang di era 90-an.
“Saya bermula dari TikTok tidak sampai setahun dan lagu cover itu menjadi tular sehingga saya pun tular dan orang di Indonesia selalu gunakan audio saya itu.
“Bila dah tular di Indonesia, sama juga di Malaysia sehingga menyebabkan label MVM menghubungi saya melalui akaun Instagram.
“Saya terus datang ke Kuala Lumpur dan menandatangani kontrak dengan mereka,” katanya yang masih menetap di Masai, Johor.
Jelas Iera, pada pertemuan bersama MVM itu, dia terus diberikan lagu Retak Hatiku ciptaan Zai Hamzah dan Oja serta lirik oleh Achoi Floor88 yang turut menjadi trending di YouTube apabila meraih 19 juta tontonan sewaktu dilancarkan pada 23 Julai tahun lalu.
“Bila Achoi beri saya lagu itu, saya berfikir dua tiga kali. Maksud saya, saya tidak fikir lagu itu bagus atau tidak. Atau, saya boleh bawa lagu itu atau tidak.
“Sebab saya memang sukakan vibe lagu yang ‘jiwang’. Saya memang suka sangat bawakan lagu-lagu yang begitu,” katanya yang memilih untuk berhijab sejak awal Mac lalu.
Tambahnya, dia tidak menyangka bahawa hobinya membawakan lagu cover di TikTok akan mengubah kehidupan dirinya.
“Kehidupan saya memang ada perubahan sekarang ini terutama dari sudut kebebasan. Dulu kalau nak keluar seorang diri, tiada masalah. Tapi sekarang, kena berteman.
“Sebab pernah terjadi saya pergi satu tempat dan waktu dalam perjalanan pulang, tiba-tiba ada orang ikut saya sampai ke rumah. Itu yang buatkan saya tak berani keluar seorang diri lagi.
“Saya juga terkejut sebab sekarang ini ada orang tegur dan ajak bergambar. Bukan saya saya tak suka tapi saya tak sangka sudah jadi terkenal,” katanya yang cukup murah dengan senyuman.
Siapa sangka gadis berketurunan Bawean ini sudah memiliki dua single iaitu Retak Hatiku dan Kamar Ilhammu sejak mula menjadi penyanyi rakaman pada tahun ini.
“Insya-Allah, lepas raya saya akan keluar dengan single baharu. Tajuknya agak panjang macam tajuk lagu dulu-dulu iaitu Lepas Padam Api Dalam Lentera,” katanya.
Biarpun kerjaya seninya sudah semakin bersinar, namun Iera memilih untuk berulang-alik dari Masai ke Kuala Lumpur.
“Saya memang ada terfikir untuk berpindah di sini. Tapi, ibu saya cakap selagi tak kahwin, tak payah pindah dan suruh saya ulang-alik.
“Mungkin dia risau. Sebenarnya, dia lagi risau bila saya ulang-alik. Tapi, nak buat macam mana. Nak tinggal sini (Kuala Lumpur) dia tak bagi. Jadi kita pilih ulang-alik. Yang penting, selamat pergi dan balik,” katanya.
Pada usia sebegini, Iera memberitahu, dia punya sasaran untuk mendirikan rumah tangga tetapi dihalang ibunya.
“Dia cakap, selagi tidak ada enam lagu, jangan kahwin. Saya rasa kalau kita ikut cakap ibu, kehidupan kita akan mendapat lebih banyak berkat,” katanya. – 6 April, 2024