Raih kutipan RM500,000 di Hong Kong selama 3 minggu, Sheriff bakal ditayangkan pula di China: Yusof Haslam

Menurut Yusof, pihaknya dalam proses rundingan dengan pengedar filem di China yang berminat menayangkan Sheriff di sana selepas melihat filem itu ditayangkan di Hong Kong

3:54 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Produser dan pengarah legenda, Datuk Yusof Haslam tidak menyangka filem Sheriff: Narko Intergriti mendapat sambutan baik di Hong Kong apabila ia mampu bertahan selama tiga minggu di pawagam negara itu sejak ditayangkan pada 6 Jun lalu.

Malah kata Yusof, Sheriff yang merupakan filem aksi kepolisan terbaharu arahan anaknya, Syafiq itu, berjaya meraih kutipan sebanyak RM500,000 sepanjang tempoh tersebut.

Bercakap kepada Scoop, Yusof berkata, walaupun ia bukan jumlah kutipan luar biasa apatah lagi Sheriff hanya ditayangkan di 40 pawagam dan kini berkurangan kepada 30, namun bagi filem Malaysia yang pertama kali ditayangkan di negara itu, ia boleh disifatkan sebagai permulaan yang baik.

“Kita tidak mengharapkan sambutan atau kutipan yang hebat, apatah lagi pecah panggung. Apa penting, ada respon daripada penonton di sana terhadap filem kita.

“Bagi saya, itulah pentingnya apabila kita membuat promosi awal mengenai filem terbitan kita kepada negara lain,” katanya.

Menurut Yusof, dengan terbukanya pintu tayangan filem Sheriff di Hong Kong, syarikat produksinya, Skop Productions akan menggunakan peluang tersebut untuk menayangkan filem-filem tempatan di sana.

Menurut Datuk Yusof Haslam, dengan terbukanya pintu tayangan filem Sheriff di Hong Kong, syarikat produksinya, Skop Productions akan menggunakan peluang tersebut untuk menayangkan filem-filem tempatan di sana. – Gambar Astro, 23 Jun, 2024

“Jadi, sudah tentu kita akan bantu filem-filem edaran kita untuk ditayangkan di sana, namun kita perlu selektif kerana pihak di sana (Warner Bros Hong Kong) juga berbuat demikian.

“Skop Productions bukan hanya syarikat yang menerbitkan drama dan filem semata-mata sebaliknya bertindak sebagai pengedar filem kepada filem-filem tempatan di Hong Kong.

“Sheriff ditayangkan di sana selepas mendapat sambutan yang hebat di Malaysia dan atas sebab itu ia dipilih ditayangkan di Hong Kong. Sama seperti Netflix, mereka juga selektif memilih filem-filem untuk ditayangkan di platform mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Yusof memberitahu, Skop Productions kini dalam rundingan dengan pengedar filem di China untuk menayangkan Sheriff di negara tersebut.

“Mereka menghubungi kita selepas melihat Sheriff ditayangkan di Hong Kong. Kita tengok macam mana dulu hasil rundingan tersebut,” katanya.

Ditanya mengenai drama kepolisan terbarunya ‘Polis Peronda’, Yusof berkata dia tidak mengarah sepenuhnya drama itu sebaliknya dibantu dua pengarah lain termasuk Syafiq.

“Banyak perkara yang perlu saya uruskan. Saya perlu uruskan skrip filem, perlu uruskan Skop Productions dan macam-macam lagi. Saya dah 70 tahun, tapi saya masih sibuk bekerja lagi,” katanya. – 23 Jun, 2024

Topics

 

Popular

Sarjit admits tough Australia tour key to Speedy Tigers’ growth

National coach prioritises player development over results in challenging six-match series

Leaked gas vapours easily ignited, leading to massive explosion in Putra Heights: fire expert

KUALA LUMPUR – The gas pipeline fire in Putra Heights, Subang Jaya, today is believed to have been caused by a “boiling liquid expanding vapour explosion” (BLEVE), according to a retired senior...

Budget 2025: KBS urged to collaborate with KPKT for grassroots talent development

National junior hockey coach calls for increased funding and joint efforts between Youth and Sports Ministry and Housing and Local Government Ministry to utilise underused facilities and nurture future athletes for the 2027 SEA Games

Related