Ambil iktibar kematian P Ramlee, FDAM – IJN jalin kerjasama tingkat kesedaran penyakit jantung: Afdlin

Inisiatif itu diwujudkan kerana rata-rata ahli FDAM terdiri daripada pengarah dokumentari, drama dan filem yang seringkali mengabaikan kesihatan diri mereka

2:56 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Bagi meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya penjagaan kesihatan jantung dalam kalangan ahlinya, Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) bekerjasama dengan Institut Jantung Negara (IJN) yang bertindak sebagai penaja program Hari Karya Lestari FDAM 2024.

Pengerusi FDAM, Datuk Afdlin Shauki Aksan berkata, inisiatif itu diwujudkan kerana rata-rata ahlinya yang terdiri daripada kelompok pengarah dokumentari, drama dan filem seringkali mengabaikan kesihatan diri mereka.

“Saya akui kesedaran jantung dalam kalangan ahli-ahli FDAM agak rendah kerana bukan kita bebal, tapi ingat kita kebal. Kebanyakan pengarah selalu bertindak seperti bos, berada di atas dan ingat tiada apa-apa akan berlaku.

“Selama ini kita hanya fokus bekerja untuk keluarga dan jarang fikir mengenai diri sendiri. Kita menjadi leka dengan rutin dan perbuatan lazim sehingga tidak peka dengan simptom yang menjadi penyebab serangan jantung.

“Kita bekerja tidak mengikut jam yang ditetapkan badan kita, selalu paksa diri ke tahap maksimum. Kita patut ambil masa menjaga diri sendiri. Kita tolong orang buat kerja tapi kita tidak menjaga diri sendiri,” katanya.

Pengerusi FDAM, Datuk Afdlin Shauki Aksan mengakui kesedaran penyakit jantung dalam kalangan ahli-ahli FDAM agak rendah, namun bukan kerana mereka bebal, tapi kerana merasa mereka kebal – Gambar FDAM, 2 Julai, 2024

Afdlin berkata, golongan karyawan harus mengambil iktibar daripada apa yang berlaku kepada seniman tersohor, Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang meninggal dunia akibat serangan jantung.

Katanya, sebagai salah seorang karyawan yang bergerak aktif dalam industri perfileman, beliau cukup ‘masak’ dengan sikap rakan pengarah yang lain.

“Saya kenal kawan-kawan saya kerana perangai saya pun sama, seperti merokok dan mengambil kafein terlalu banyak. Semuanya tidak tahu dan tidak mahu ambil tahu.

“Masa untuk semua ini harus berubah. Kita harus selari dengan karya kita dan pada masa sama jagalah kesihatan, terutama penggerak kehidupan iaitu jantung,” katanya.

“Hanya dengan ini kita kekal lestari dengan karya kita,” tambahnya.

“FDAM juga menyasar untuk keseluruhan industri kreatif, media dan hiburan. Edisi pertama dikhaskan kepada ahli FDAM dengan harapan agar dapat mengurangkan masalah kesihatan kritikal dalam kalangan ahli.

“Namun, menjadi harapan kami agar usaha ini diteladani dan bakal dilakukan lain-lain persatuan. Kami turut mengalu-alukan kerjasama dengan rakan dari persatuan industri kreatif hiburan lain untuk mengadakan program sama,” katanya.

Sepanjang program Hari Karya Lestari FDAM 2024, IJN membantu memberikan pemeriksaan kesihatan jantung, memberi nasihat, panduan dan langkah ke hadapan dalam menjaga kesihatan jantung secara percuma kepada ahli FDAM.

Selain itu, program selama sehari itu yang disertai 100 ahli FDAM turut menggabungkan elemen riadah, acara berjalan santai dan pendedahan simptom penyakit jantung. – 2 Julai, 2024

Topics

 

Popular

Putra Heights gas explosion: MBSJ’s ROW incursion approval needs scrutiny, says planning law expert 

Just because approval is given does not make it right, reminds Derek Fernandez  

Reformasi! PM, unity govt partners visit Selangor on nomination day

The three state seats under the Gombak parliamentary constituency are shaping up to be the hottest in Selangor as some of the biggest names turned up this morning for nomination day.

MAHB posts over 11 mil in total passenger movements for Feb 2024

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) showed an unusually strong growth momentum with a record of 11 million passenger movements in February 2024 despite the shorter month.

Related