Piala Asia 2023: Qatar mulakan misi pertahan kejuaraan dengan langkah kanan

Tuan rumah membenam Lubnan 3-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan A di Lusail

8:50 AM MYT

 

DOHA – Tuan rumah, Qatar bermula cemerlang dalam misi mempertahankan kejuaraan selepas menundukkan Lubnan 3-0 dalam perlawanan pertama Kumpulan A yang juga aksi pembukaan Piala Asia 2023 di Stadium Lusail di sini, awal pagi tadi.

Penyerang kelab Al Sadd, Akram Afif mencuri tumpuan dengan meledak dua gol menarik, sementara pemenang Kasut Emas Piala Asia 2019, Almoez Ali turut mencetak nama sebagai penjaring untuk memberi permulaan sempurna buat skuad The Maroons.

Beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong sendiri, Qatar yang menghuni ranking ke-58 dunia bermula garang apabila Ali berjaya meletakkan bola di gawang, namun jaringannya pada minit kelima itu dibatalkan disebabkan ofsaid.

Namun, kebuntuan mencipta gerakan efektif menghantui skuad bimbingan Marquez Lopez selepas itu, sementara Lubnan mula menemui rentak dan berjaya mencipta beberapa peluang jaringan termasuk rembatan deras kapten Hassan Maatouk, yang diselamatkan penjaga gol Mostafa Matar pada minit ke-21.

Qatar yang kembali menemui rentak hampir meledak gol pertama, namun tandukan Afif yang menerima hantaran cantik Yusuf Abdurisag dari sebelah kanan, hanya menggegar palang pada minit ke-31.

Afif akhirnya berjaya membantu Qatar memecah kebuntuan pada minit ke-45, apabila merembat bola umpanan Ali dalam kotak penalti sekali gus menjadi gol pertama edisi 2023 pertandingan bola sepak terulung Asia itu.

Penyerang Qatar, Hassan Al-Haydos (depan, kiri) diasak pertahanan, Lubnan dalam aksi Kumpulan A, Piala Asia 2023 di Lusail, Qatar awal pagi tadi. – Gambar Bernama, 13 Januari, 2024

Bersambung babak kedua, pasukan tuan rumah terus mendominasi permainan dan Ali menggandakan kedudukan pada minit ke-56 apabila menanduk bola hantaran ketua pasukan, Hassan Al-Haydos sekali gus mengubati kekecewaan jaringan yang dibatalkan terdahulu.

Ketika permainan seolah-olah berkesudahan 2-0, Afif sekali lagi menceriakan penyokong tuan rumah apabila mengesahkan kemenangan pasukan menerusi gol ketiga pada masa kecederaan separuh masa kedua.

Qatar yang dibimbing pengendali Sepanyol, Marquez Lopez akan bertemu Tajikistan pada 17 Januari, diikuti China pada 22 Januari. – 13 Januari, 2024

Topics

 

Popular

MAHB posts over 11 mil in total passenger movements for Feb 2024

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) showed an unusually strong growth momentum with a record of 11 million passenger movements in February 2024 despite the shorter month.

Ringgit eases against dollar as Fed official’s comments dampen rate cut hopes

Local note at 4.6910/6950 versus greenback at 9am

Guru guna gambar ‘askar China’ pada poster dikenakan tindakan tatatertib: Fadhlina

Kementerian Pendidikan sudah mengambil tindakan tegas melalui siasatan Unit Integriti dan tindakan tatatertib terhadap guru itu

Related