Hatrik penalti pastikan Qatar kekal ‘raja’ bola sepak Asia

Ketiga-tiga penalti itu disempurnakan penyerang sensasi, Akram Afif

8:28 AM MYT

 

LUSAIL – Qatar mempertahankan kejuaraan Piala Asia 2023 selepas menewaskan Jordan 3-1 pada perlawanan akhir penuh kontroversi yang menyaksikan tiga jaringan The Maroons hadir menerusi penalti di venue ikonik Stadium Lusail, di sini, malam tadi.

Ketiga-tiga penalti tuan rumah disempurnakan penyerang sensasi, Akram Afif masing-masing satu pada separuh masa pertama, diikuti dua di babak kedua dengan gol sagu hati Jordan yang juga jaringan penyamaan hadir menerusi Yazan Al-Naimat.

Kejayaan itu menyaksikan Qatar muncul pasukan kelima meraih gelaran juara berturut-turut selepas Korea Selatan pada edisi 1956 dan 1960; Iran yang mencipta hatrik (1968, 1972,1976); Arab Saudi (1984,1988) dan Jepun pada edisi 2000 dan 2004.

Qatar bimbingan Marquez Lopez terlepas membuka jaringan awal pada minit ke-12 apabila hantaran jauh cantik Hassan Al-Haydos tepat menemui Almoez Ali yang hanya perlu menewaskan penjaga gol dalam kotak penalti, namun rembatannya dihalang Salem Al-Ajalin

Giliran Jordan kendalian Hussein Ammouta menguji penjaga gol Qatar, Meshaal Barsham apabila Al-Naimat yang menerima hantaran Ali Olwan melepaskan rembatan padu kaki kanan dari luar kotak penalti yang berjaya ditolak keluar pada minit ke-16.

Qatar akhirnya memecah kebuntuan gol pada minit ke-22 menerusi penalti Afif yang dijatuhkan Abdallah Nasib sebelum pemain Al Sadd berusia 27 tahun itu tenang membuat sepakan leret ke arah kiri gawang yang seinci daripada jangkauan Yazeed Abulaila.

Abulaila kemudian bertindak cemerlang menyelamatkan gawang dari dibolosi buat kali kedua selepas menepis keluar bola tandukan tajam Lucas Mendes berpunca sepakan penjuru diambil Afif pada minit ke-33.

Penyerang sensasi Qatar, Akram Afif muncul wira dengan meledak hatrik menerusi sepakan penalti. – Gambar Qatar FA, 11 Februari, 2024

Di penghujung 45 minit pertama, Afif mencemaskan penyokong Qatar di stadium apabila beliau diusung keluar bagi mendapatkan rawatan sebelum kembali ke padang sekali gus mendapat tepukan gemuruh.

Memasuki tambahan masa babak pertama, Mohammed Waad Albayati menafikan peluang Jordan menyamakan kedudukan di lewat permainan selepas rembatan Al-Tamari yang menerima hantaran lintang Olwan terkena badannya.

Bersambung babak kedua, The Chivalrous bermula garang apabila melancarkan serangan bertali arus yang menyaksikan Barsham bertindak cemerlang menyelamatkan tiga percubaan berbahaya berturut-turut menerusi Haddad, Yazan Al-Arab dan Al-Tamari.

Namun, penjaga gol Al Sadd berusia 26 tahun itu akhirnya bolos apabila Al-Naimat berjaya melepasi kawalan pertahanan Qatar untuk menerima bola hantaran lambung dari sebelah kanan Haddad dengan baik sebelum melepaskan rembatan kaki kiri pada minit ke-67.

Enam minit kemudian, Afif kembali meletakkan Qatar di depan apabila menyempurnakan penalti selepas pengadil Ma Ning yang meneliti Video Bantuan Pengadil (VAR) di tepi padang mengesahkan berlaku kekasaran selepas Ismaeel Mohammad dijatuhkan Mahmoud Almardi.

Pengadil dari China itu sekali lagi bergantung kepada VAR untuk menentukan penalti ketiga Qatar selepas Abulaila didapati menjatuhkan Afif sebelum penyerang dengan gaya rambut afro itu sekali lagi meledak jaringan lima minit memasuki waktu kecederaan untuk melengkapkan hatrik.

Tiga jaringan Afif membolehkannya mengumpul keseluruhan lapan gol untuk dinobat sebagai penjaring terbanyak kejohanan, memintas pemain Iraq, Aymen Hussein yang mengumpul enam gol, selain turut membawa pulang Anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) kejohanan.

Perlawanan itu turut disaksikan Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani dan Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino. – 11 Februari, 2024

Topics

 

Popular

Sarjit admits tough Australia tour key to Speedy Tigers’ growth

National coach prioritises player development over results in challenging six-match series

Vehicles plough into pedestrians in vicious hit-and-run attack near Old Klang Road

Two individuals left injured as sedan and pickup truck deliberately ram into group, police probe attempted murder

Budget 2025: KBS urged to collaborate with KPKT for grassroots talent development

National junior hockey coach calls for increased funding and joint efforts between Youth and Sports Ministry and Housing and Local Government Ministry to utilise underused facilities and nurture future athletes for the 2027 SEA Games

Related