Laungan ‘Messi, Messi’ iringi layangan kad merah terhadap Ronaldo

Bintang penyerang Portugal itu dikecam hebat gara-gara mahu 'menumbuk pengadil' sejurus dibuang padang ketika pasukannya kalah 1-2

9:22 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Cristiano Ronaldo menjadi sasaran kecaman di media sosial selepas dibuang padang ketika pasukannya Al-Nassr tumpas 1-2 kepada Al-Hilal dalam aksi tegang separuh akhir Piala Super Saudi di Abu Dhabi, awal pagi tadi.

Bintang bola sepak Portugal itu dilayangkan kad merah serta-merta empat minit sebelum tamat perlawanan kerana menyiku pertahanan lawan, Ali Al-Bulayhi ketika pasukannya ketinggalan 0-2.

Begitupun bukan aksi menyiku itu yang menyebabkan penyerang berusia 39 tahun tersebut dikecam hebat, sebaliknya dia yang berang dibuang padang menunjukkan isyarat seolah-olah mahu melepaskan tumbukan terhadap pengadil, Mohammed Al Hoaish sebelum menepuk bahu seorang pegawai secara sinis ketika meninggalkan padang.

Pemenang Ballon d’Or lima kali itu kini berdepan risiko dikenakan hukuman, namun di media sosial peminat bola sepak terlebih dulu ‘menghukum’ bekas bintang Real Madrid, Manchester United dan Juventus tersebut kerana tindakannya yang dianggap angkuh.

“Penghinaan…selepas penghinaan…selepas dihina. Saya percaya bagi pihak setiap penyokong Al Nassr, Cristiano Ronaldo KELUAR dari kelab kami,” tulis pemilik akaun Al Nassr 7 di X.

“Kariernya menjadi semakin teruk,” tulis King.

“Saya adalah peminat Ronaldo tapi saya fikir dia memang berhak mendapat kad merah,” kata pemilik akaun Faceboo, Yankuba Jallow.

Seorang lagi peminat, Sammy Juniour kemudian menulis: “Memang patut (dilayangkan kad merah), dia tidak lebih besar daripada pengadil. Ia memalukan, pemain berpengalaman perlu menunjukkan sikap yang baik.”

“Dia buat hal lagi dalam perlawanan besar. Saya sudah katakan, Ronaldo hanya mengejar kemasyhuran peribadi bukan pasukan,” tulis Benshot Photograph.

Sebaik sahaja Ronaldo menerima kad merah ke-12 sepanjang kariernya, laungan ‘Messi, Messi’ bergema di Stadium Mohammed bin Zayed.

Bintang Argentina, Lionel Messi yang kini bermain di Amerika Syarikat (AS) terkenal sebagai seteru utama Ronaldo sepanjang kariernya mereka yang gemilang.

Dalam aksi tersebut, Al-Hilal yang dibimbing Jorge Jesus membuka tirai jaringan pada minit ke-62 apabila Salem Al-Dawsari merembat bola ke penjuru kanan gawang menerusi serangan balas pantas.

Penyerang Brazil, Malcolm menggandakan kedudukan pada minit ke-72 menerusi tandukan cantik selepas menerima hantaran tinggi Michael dari sebelah kanan.

Bekas penyerang Liverpool, Sadio Mane merapatkan jurang buat Al-Nassr pada masa kecederaan selepas menyempurnakan hantaran Abdulrahman Ghareeb.

Al-Hilal akan memburu rekod kejuaraan keempat pada aksi final awal pagi Jumaat ini apabila berdepan kelab Karim Benzema, Al-Ittihad, yang terdahulu menyingkirkan Al-Wehda 2-1 dalam satu lagi separuh akhir. – 9 April, 2024

Topics

 

Popular

Sarjit admits tough Australia tour key to Speedy Tigers’ growth

National coach prioritises player development over results in challenging six-match series

Vehicles plough into pedestrians in vicious hit-and-run attack near Old Klang Road

Two individuals left injured as sedan and pickup truck deliberately ram into group, police probe attempted murder

Budget 2025: KBS urged to collaborate with KPKT for grassroots talent development

National junior hockey coach calls for increased funding and joint efforts between Youth and Sports Ministry and Housing and Local Government Ministry to utilise underused facilities and nurture future athletes for the 2027 SEA Games

Related