Piala Dunia Sepak Takraw: Malaysia bermandi peluh sebelum singkir Korea Selatan

Kemenangan 15-11, 15-17, 15-9 sekali gus akan menemukan skuad beregu negara dengan Myanmar pada separuh akhir jam 8 malam ini

3:04 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Beregu negara cemas seketika sebelum menumbangkan Korea Selatan 2-1 untuk mara ke separuh akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa hari ini.

Kemenangan 15-11, 15-17, 15-9 sekali gus akan menemukan skuad beregu negara dengan Myanmar pada separuh akhir jam 8 malam ini.

Korea Selatan menunjukkan kesungguhan untuk membalas dendam kekalahan kepada Thailand di peringkat kumpulan dengan menumpaskan Malaysia di suku akhir dan Myanmar di separuh akhir sebelum kembali bertemu negara Gajah Perang itu di final.

Begitupun hasrat itu tidak kesampaian selepas duo negara, Aidil Aiman Azwawi dan Noraizat Nordin cemerlang di set pertama dengan kemenangan 15-11.

Beregu Korea Selatan diwakili Kim Young-cheol dan Shin Hee-seop kembali bangkit memenangi set kedua.

Pemain negara ketinggalan 10-8 di set kedua tetapi berjaya menyamakan kembali kedudukan 11-11 dibantu oservis ace daripada Aidil Aiman.

Namun kegagalan Noraizat menampan libasan Hee-seop dan kesilapan servis menyaksikan skuad Taeguk Warriors itu menang 17-15 untuk mengikat perlawanan 1-1.

Aksi di set kedua menyaksikan duo Korea hilang arah dengan melakukan banyak kesilapan servis dan libasan yang keluar dari gelanggang.

Kesilapan itu memberi peluang kepada beregu negara untuk menamatkan saingan 15-8 dan membiarkan pasukan bimbingan Kim Taek-yeong itu pulang dengan tangan kosong.

Di sebalik kemenangan itu, Noraizat mengakui banyak kesalahan kecil dilakukan di set menyebabkan mereka tewas di set kedua.

“Semua negara yang hadir dalam Piala Dunia ini adalah yang terbaik, jadi kesilapan kecil menjadi pemisah.

“Di set ketiga kami kembali bertenang, Alhamdulillah dapat menang.

“Kami kena kurangkan kesilapan kecil yang membuat point (mata) jadi rapat, blocking dan servis error (kesilapan) perlu diperkemaskan lagi,” katanya selepas tamat perlawanan.

Pada masa sama, Noraizat mengakui tidak sabar untuk berdepan Myanmar di separuh akhir malam ini.

“Myanmar pasukan yang kuat dan kami nak bertanding dengan mereka di separuh akhir malam ini.

“Saya yakin kita boleh mengalahkan mereka sebab kita pernah menang ke atas mereka di Sukan SEA Kemboja tahun lepas,” katanya. — 21 Mei, 2024

Topics

 

Popular

Sarjit admits tough Australia tour key to Speedy Tigers’ growth

National coach prioritises player development over results in challenging six-match series

Vehicles plough into pedestrians in vicious hit-and-run attack near Old Klang Road

Two individuals left injured as sedan and pickup truck deliberately ram into group, police probe attempted murder

Budget 2025: KBS urged to collaborate with KPKT for grassroots talent development

National junior hockey coach calls for increased funding and joint efforts between Youth and Sports Ministry and Housing and Local Government Ministry to utilise underused facilities and nurture future athletes for the 2027 SEA Games

Related